Display: High contrast | Normal
white blue red green big font small font W3C
25 June 2019 / 22 Syawal 1440
Setting

NDUM BULLETIN

TUDM-UPNM Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi pengajian baharu untuk Pegawai Kadet (Juruterbang) di UPNM

Author :Ehsan TUDM Wednesday, 23 Jan 2019


ALOR SETAR, 23 Januari 2019 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah menjalinkan kerjasama dalam memperkenalkan suatu konsep pengajian yang baharu di UPNM bagi pengambilan Pegawai Kadet (Juruterbang) TUDM khasnya serta ATM amnya melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).



Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM yang mewakili Panglima Angkatan Tentera bersama Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Dato’ Abdul Halim bin Hj Jalal bertempat di Kolej Tentera Udara (KTU), Alor Setar, Kedah.


Program yang dinamakan sebagai 2u2i ini membawa maksud 2u ( 2 tahun pengajian di UPNM) manakala 2i ( 2 tahun Latihan Industri). Pegawai Kadet yang terpilih akan menjalani fasa akademik selama 2 tahun di UPNM dan seterusnya 2 tahun lagi fasa latihan industri iaitu (fasa latihan penerbangan) di KTU.


Bagi pengambilan pertama Pegawai Kadet (Juruterbang), seramai 23 orang dari Program Asasi Sains 2017 yang terdiri daripada TUDM 17 orang, TDM 4 orang dan TLDM 2 orang telah terpilih untuk memulakan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Penerbangan. Mereka telah memulakan pembelajaran (fasa 2u) pada September 2018 yang lepas. Kesemua Pegawai Kadet ini dijangka menamatkan pengajian mereka pada Oktober 2022. Seterusnya mereka akan ditauliahkan sebagai pegawai TUDM/ATM berpangkat Lt Muda serta dianugerahkan sayap penerbangan oleh DYMM SPB YDP Agong bersama Ijazah Sarjana Muda Penerbangan mereka.



Faktor utama diperkenalkan pengajian ini adalah bagi menjimatkan masa dalam menganugerahkan sayap penerbangan kepada setiap Pegawai TUDM/ATM pada usia lebih muda. Sebelum ini, purata umur Pegawai TUDM/ATM dianugerahkan sayap penerbangan adalah pada usia 26 tahun. Ianya kerana setiap mereka perlu menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda mereka di UPNM atau IPTA terlebih dahulu sebelum dipilih untuk mengikuti latihan penerbangan di KTU. Melalui program yang dilaksanakan ini, dijangkakan usia Pegawai TUDM/ATM dianugerahkan sayap penerbangan adalah pada usia 23 tahun.


Majlis Menandatangani MoA ini turut dihadiri oleh Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Dato’ Kamarulzaman bin Mohd Othman TUDM, Timbalan Naib Canselor UPNM (Akademik dan Antarabangsa), Yang Mulia Prof. Emeritus Dato‘ Dr. Tengku Mohd bin Tengku Sembok, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Pegawai-pegawai Kanan TUDM serta UPNM dan wakil Jabatan Pengajian Tinggi



Last Edited : Wednesday, 23 Jan 2019