Display: High contrast | Normal
white blue red green big font small font W3C
18 November 2019 / 20 Rabiul Awal 1441
Setting

NDUM BULLETIN

Kejohanan Menembak 10 meter Kali Ke-5 2019

Author :Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa Monday, 14 Oct 2019

Sungai Besi, 6 Oktober 2019 – Pusat Sukan, Akademi Kecergasan Pertahanan (AKP), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) telah menjayakan Kejohanan Menembak 10 Meter Antara Institusi Pendidikan Tinggi Jemputan Kebangsaan Kali Ke-5, baru-baru ini.


Program yang telah berlangsung selama lima (5) hari berkenaan telah bermula pada 2 Oktober dan berakhir pada 6 Oktober 2019. Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YBhg. Lt Jen Dato’ Hj. Abdul Halim bin Hj. Jalal, Naib Canselor UPNM. Majlis berkenaan turut dihadiri oleh wakil pengurusan UPNM.



Kejohanan kali ini telah mendapat penyertaan daripada 17 pasukan yang terdiri daripada 12 pasukan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 5 pasukan dari Majlis Sukan Negeri. Bagi atlet dari Majlis Sukan Negeri yang berumur 17 tahun dan ke bawah, penyertaan mereka adalah melalui kerjasama NSAM sebagai badan sukan kebangsaan.


Kejohanan berkenaan menyaksikan UPNM sebagai tuan rumah memenangi tempat pertama dengan jumlah keseluruhan medal terkumpul sebanyak 6 medal (3 emas dan 3 perak), disusuli dengan Universiti Putra Malaysia dengan jumlah medal sebanyak 6 medal (3 emas, 2 perak dan 1 gangsa). Manakala Universiti Teknologi MARA telah mendapat tempat ketiga dengan 3 medal (1 emas, 1 perak dan 1 gangsa).


Penganjuran kejohanan ini merupakan acara tahunan di peringkat kebangsaan bagi Pusat Sukan UPNM untuk memastikan program Pusat Sukan Tumpuan (PST) Menembak yang telah diamanahkan oleh KPM mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Selain untuk memajukan Sukan Menembak di IPT secara umumnya, pelaksanaan program ini juga dilihat dapat memberi impak kepada Sukan Menembak di peringkat kebangsaan dengan penglibatan daripada IPT.


Penglibatan atlet dari Majlis Sukan Negeri yang berumur 17 tahun dan ke bawah telah mendedahkan mereka kepada kesinambungan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat IPT dan secara tidak langsung akan meneruskan penglibatan secara berterusan di dalam Sukan Menembak secara amnya di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.




Last Edited : Monday, 14 Oct 2019