Paparan: Kontras Tinggi | Asal
white blue red green big font small font W3C
20 November 2018 / 12 Rabiul Awal 1440
Tetapan

BULETIN UPNM

Istiadat Majlis Konvokesyen Ke- 4, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Penulis :BKKPA Rabu, 02 Okt 2013


UPNM, 23 September 2013 - Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah mengadakan Istiadat Konvokesyen. Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen ini disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV Almu’Tasimu Billahi Muhibuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, manakala Sidang Kedua yang berlangsung esok 24 September 2013 akan disempurnakan oleh Pro-Canselor UPNM Yang Teramat Mulia Tunku Panglima Besar Kedah Brigedier Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Turut hadir dalam upacara hari ini adalah Pro-Canselor, Jeneral Tan Sri Dato’ Mohamed Ghazali Bin Dato’ Mohamed Seth (Bersara), Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Panglima Tentera Darat Malaysia, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia serta Naib-naib Canselor Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Pada Istiadat Konvokesyen ke-4 Sidang 1 ini juga, UPNM menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengajian Pertahanan) kepada Jeneral Tan Sri Dato’ Mohd Ghazali Bin Haji Che Mat (Bersara) dan Ijazah Kehormat Sarjana (Kejuruteraan Pertahanan) kepada Kolonel Haji Murad Bin Jaafar (Bersara).

Kali ini, UPNM menganugerahkan Ijazah kepada 524 graduan terdiri daripada satu (1) graduan PhD, enam (6) Graduan Master, 274 Graduan Pegawai Kadet dan 243 Graduan Awam. Hari ini, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong menganugerahkan Ijazah kepada 250 orang graduan.

Tahun ini, seramai 21 orang graduan telah dipilih untuk menerima lima (5) anugerah. Anugerah Pelajaran Diraja dianugerahkan kepada dua (2) graduan, Anugerah Pingat Emas Canselor dianugerahkan kepada seorang (1) graduan, Anugerah Pingat Emas Naib Canselor dianugerahkan kepada sembilan (9) graduan, Anugerah Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti (Kepimpinan) kepada seorang (1) graduan dan Anugerah Hadiah Buku dianugerahkan kepada sembilan (9) graduan.

Dengan tempoh pengajian selama 3 tahun untuk Jurusan Pengurusan serta Sains Teknologi Ketenteraan (tidak termasuk tempoh satu (1) tahun untuk Program Asasi), dan 4 tahun bagi Jurusan Kejuruteraan (tidak termasuk tempoh satu (1) tahun untuk Program Asasi), UPNM adalah Institusi yang melahirkan pelajar bukan sahaja dalam bidang akademik malahan bidang kepimpinan, rohani dan jasmani, yang mana ini berbeza sekali dengan IPTA lain di negara ini. Ini sejajar dengan hasrat UPNM untuk melahirkan "Intellectual Leaders of Character”.

Bagi Pegawai Kadet, sebelum layak ditauliahkan sebagai Leftenan Muda atau setaraf dalam Perkhidmatan ATM, mereka perlu lulus dengan cemerlang dalam dua aspek iaitu akademik dan latihan ketenteraan yang merangkumi latihan jasmani, kawad, senjata, pengetahuan am ketenteraan dan staf, kepimpinan, akaun rejimen, etika tentera, taktik peperangan dan undang-undang tentera. Manakala bagi Graduan Awam pula, mereka juga perlu menjalani latihan ketenteraan melalui program Latihan Palapes.

Di samping itu, untuk melahirkan semangat setiakawan dan juga persaingan yang sihat di antara Pegawai Kadet dan juga Graduan Awam, acara-acara ketenteraan dan sukan juga diadakan. Pertandingan sukan yang diadakan ialah tinju, seni mempertahankan diri, bola sepak, ragbi, bola tampar, bola jaring, renang, merentas desa, merentas halangan, jalan laju dan kembara duga. Faktor inilah yang memangkin kepada peningkatan permohonan memasuki UPNM setiap tahun.

Untuk menyemarakkan lagi suasana konvokesyen ini, Pesta Konvokesyen (Convofest) 2013 telah disusun di mana atur programnya bermula dari 19 hingga 24 September 2013.

Kemaskini Terakhir : Rabu, 02 Oktober 2013