Paparan: Kontras Tinggi | Asal
white blue red green big font small font W3C
20 November 2018 / 12 Rabiul Awal 1440
Tetapan

BULETIN UPNM

Istiadat Konvokesyen Kali Ke- 5 UPNM

Penulis :Korproat Selasa, 21 Okt 2014


UPNM, 20 Oktober 2014 - Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah mengadakan Istiadat Konvokesyen Kali Ke-5. Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen ini disempurnakan oleh Pro-Canselor UPNM Yang Teramat Mulia Tunku Panglima Besar Kedah Brigedier Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai mewakili Tuanku Canselor, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV Almu’Tasimu Billahi Muhibuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Manakala Sidang Kedua disempurnakan oleh Pro-Canselor kedua YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Mohamed Ghazali bin Dato’ Mohamed Seth (Bersara).


Turut hadir dalam upacara hari ini adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan serta wakil Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).


Pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Kali Ke-5 ini, UPNM menganugerahkan empat (4) Ijazah Kehormat iaitu kepada YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Hj Mohd Sany Bin Hj. Abdul Ghafar (Bersara), Mantan Panglima Angkatan Tenteran Malaysia yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan Strategi, YBhg. Laksamana Muda Tan Sri Dato’ Sri K. Thanabalasingam (Bersara) yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Sains dan Teknologi Maritim, YBhg. Leftenan Kolonel Haji Robert Rizal Abdullah (Bersara) P.G.B. yang menerima Ijazah Kehormat Sarjana dalam bidang Pengajian Strategi dan YBhg. Datuk Paul Kiong S.P. yang menerima Ijazah Kehormat Sarjana dalam bidang Pengajian Strategi.


Kali ini, UPNM menganugerahkan Ijazah kepada 489 graduan terdiri daripada lapan (8) graduan PhD, 10 graduan Sarjana. Manakala 471 graduan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda yang terdiri daripada 232 graduan Pegawai Kadet dan 239 graduan Awam.


Tahun ini, seramai 22 orang graduan telah dipilih untuk menerima penganugerahan Hadiah Akademik yang terdiri daripada pecahan iaitu dua (2) penerima Anugerah Pelajaran Diraja, seorang penerima Pingat Emas Canselor, sembilan (9) penerima Pingat Emas Naib Canselor, seorang penerima Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti (Kepimpinan), seorang penerima Anugerah Hadiah Buku Pengerusi LPU, tiga (3) penerima Hadian Buku DRB-HICOM, dua (2) penerima Anugerah Buku SME-Ordnance, dua (2) penerima Anugerah Hadiah Buku SAPURA dan seorang penerima Anugerah Hadiah Buku Boustead Naval Shipyard.


Dengan tempoh pengajian selama 3 tahun untuk Jurusan Pengurusan serta Sains Teknologi Ketenteraan (tidak termasuk tempoh satu (1) tahun untuk Program Asasi), dan 4 tahun bagi Jurusan Kejuruteraan (tidak termasuk tempoh satu (1) tahun untuk Program Asasi), UPNM adalah Institusi yang melahirkan pelajar bukan sahaja dalam bidang akademik malahan bidang kepimpinan, rohani dan jasmani, yang mana ini berbeza sekali dengan IPTA lain di negara ini. Ini sejajar dengan hasrat UPNM untuk melahirkan "Intellectual Leaders of Character”.


Bagi Pegawai Kadet, sebelum layak ditauliahkan sebagai Leftenan Muda atau setaraf dalam Perkhidmatan ATM, mereka perlu lulus dengan cemerlang dalam dua aspek iaitu akademik dan latihan ketenteraan yang merangkumi latihan jasmani, kawad, senjata, pengetahuan am ketenteraan dan staf, kepimpinan, akaun rejimen, etika tentera, taktik peperangan dan undang-undang tentera. Manakala bagi Graduan Awam pula, mereka juga perlu menjalani latihan ketenteraan melalui program Latihan PALAPES.


Di samping itu, untuk melahirkan semangat setiakawan dan juga persaingan yang sihat di antara Pegawai Kadet dan juga Graduan Awam, acara-acara ketenteraan dan sukan juga diadakan. Pertandingan sukan yang diadakan ialah tinju, seni mempertahankan diri, bola sepak, ragbi, bola tampar, bola jaring, renang, merentas desa, merentas halangan, jalan laju dan kembara duga. Faktor inilah yang memangkin kepada peningkatan permohonan memasuki UPNM setiap tahun.


Untuk menyemarakkan lagi suasana konvokesyen ini, Konvosari@UPNM 2014 telah disusun di mana atur programnya bermula dari 18 hingga 21 Oktober 2014. Diantara program tersebut adalah UPNM Berselawat, Mimbar@UPNM, Pertandingan Puisi MAKUM (Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia), Pertandingan Bowling Alumni, Pertandingan Mewarna Upin dan Ipin serta gerai-gerai jualan.


Kemaskini Terakhir : Selasa, 21 Oktober 2014