Paparan: Kontras Tinggi | Asal
white blue red green big font small font W3C
20 November 2018 / 12 Rabiul Awal 1440
Tetapan

BULETIN UPNM

Bengkel Serantau Mengenai Undang-undang Konflik Bersenjata di Laut dilancarkan

Penulis :BKKPA Selasa, 30 Mei 2017


Satu bengkel serantau mengenai undang-undang konflik bersenjata (LoAC) di laut yang mengumpulkan 28 pegawai kanan tentera laut dari rantau Asia Pasifik telah dirasmikan oleh Timbalan Panglima Tentera Laut, YBhg Laksamana Madya Dato‘ Anuwi bin Hassan, bagi pihak Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Bin Haji Ahmad Badaruddin, di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini. Anjuran bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), UPNM dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC). Bengkel yang diadakan selama lima hari ini membincangkan pelbagai isu operasi yang berkaitan dengan undang-undang peperangan laut dan isu-isu semasa yang berkaitan dengan tindakan kemanusiaan di laut.


Dalam edisi keempatnya, bengkel serantau ini terbukti sebagai satu platform yang sangat baik bagi pegawai-pegawai kanan tentera laut untuk bertukar-tukar idea, pengalaman, rangkaian dan juga amalan terbaik. Ahli akademik antarabangsa terkemuka dan pakar tentera dibawa masuk sebagai fasilitator bengkel. Dalam tahun-tahun sebelum ini, bengkel ini telah diadakan di Singapura, Bangkok dan Indonesia.



Dalam ucapan alu-aluannya, Isabelle Barras, ketua delegasi serantau ICRC di Kuala Lumpur, menekankan kepentingan bengkel ini yang merupakan bengkel pertama daripada aktiviti-aktiviti serantau yang akan dianjurkan oleh Pusat Serantau Undang-Undang Tentera dan Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (COMIHL) yang baru ditubuhkan di UPNM. Di saat ini juga, di suatu tempat di dunia, terdapatnya wakil ICRC sedang berbincang dengan komander operasi di peringkat taktikal, "katanya. Saya berharap para peserta akan mengetahui lebih lanjut mengenai bagaimana ICRC juga terlibat dalam ruang operasi mereka, dan pada masa yang sama, membuat yang terbaik daripada peluang ini untuk melibatkan diri dengan rakan-rakan dari tentera laut lain," tambah beliau


Timbalan Panglima Tentera Laut, YBhg Laksamana Madya Dato‘ Anuwi bin Hassan, menekankan perkara-perkara penting yang berikut dalam ucaptama.


1. Lautan atau kawasan perairan merupakan faktor yang amat penting di dalam geopolitik Asia Pasifik kerana ia menghubungkan sempadan maritim dan mampu mempengaruhi kemampanan rantau ini. Keadaan ini menjadikan tahap keselamatan maritim semakin kritikal dan adalah penting bagi kesemua pihak berkepentingan sama ada serantau dan antarabangsa untuk menyedari perkara ini. Malaysia mengakui bahawa ketenteraman di laut harus diutamakan bagi memastikan setiap laluan perdagangan adalah selamat terutamanya yang melalui Selat Melaka dan Laut China Selatan. Melindungi kepentingan global untuk kesejahteraan bersama adalah tanggungjawab semua pihak.


2. Inisiatif MINDEF merangka halatuju strategik bagi menyokong Transformasi Nasional 50 atau TN50 juga adalah sejajar dengan keperluan bagi mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju dan selamat. Teras strategik MINDEF yang dibangunkan adalah Kesiapsiagaan, Keselamatan, Diplomasi Pertahanan, Kebajikan dan PLKN 2.0. Melalui 5 teras strategik ini, kesedaran mengenai undang-undang kemanusiaan dan undang-undang konflik bersenjata berada di bawah teras Keselamatan dan Diplomasi Pertahanan. Oleh itu, pengendalian bengkel ini adalah tepat pada masanya, melihat kepada keperluan bagi melengkapkan tentera laut di rantau ini dengan kesedaran dan pengetahuan mengenai undang-undang kemanusiaan dan juga undang-undang konflik bersenjata di laut yang menggalakkan keselamatan.


3. TLDM melihat bengkel ini merupakan perkara penting bagi negara membuktikan kesungguhan di dalam mengekalkan kerjasama antara Tentera Laut di rantau ini bagi memastikan keselamatan maritim sentiasa terpelihara. Bagi menyokong usaha ini, lautan tidak harus dilihat sebagai halangan, namun sebaliknya sebagai satu peluang, terutamanya bagi meningkatkan lagi kerjasama sedia ada dan mengukuhkan lagi hubungan utuh di kalangan tentera laut. Trend non-state actors dalam keganasan maritim di Laut Sulu yang berleluasa menjalankan penculikan dalam meraih wang tebusan telah membawa Malaysia, Indonesia dan Filipina untuk membentuk Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang merangkumi pemantauan maritim, pengawasan udara, perkongsian perisikan dan penubuhan Pusat Kawalan Maritim di rantau Laut Sulu. Kerjasama ini diadaptasi daripada kejayaan Malacca Straits Patrol (MSP) yang disertai oleh Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.


4. Kepatuhan kepada undang-undang konflik bersenjata di laut yang turut dikawalselia oleh undang-undang kemanusiaan antarabangsa menjadi asas ketika menguatkuasakan undang-undang di kawasan tersebut. Oleh yang demikian, setiap pelaut perlu dilengkapi dengan pengetahuan berkaitan tindakan yang harus dilaksanakan ketika menghadapi ancaman di kawasan tersebut. Pusat ini akan menjadi platform terbaik untuk memenuhi keperluan tersebut. Penubuhan Pusat Kecemerlangan ini juga membuktikan bahawa Malaysia tegas terhadap segala perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Semua usaha akan digembeling dalam memerangi jenayah rentas sempadan di samping mengekalkan undang-undang konflik bersenjata di laut bagi menjamin dunia yang lebih baik dan selamat.


Turut hadir pada majlis perasmian ialah Timbalan Naib Canselor UPNM, Profesor Emeritus Dato‘ Dr. Tengku Mohd Bin Tengku Sembok yang gembira melihat kerjasama bersama antara UPNM, TLDM dan ICRC untuk bengkel serantau ini dan mengalu-alukan kedatangan para peserta ke UPNM. Beliau juga menyatakan hasratnya untuk COMIHL menjadi pusat kecemerlangan dalam undang-undang tentera dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa di rantau ini.


Di seluruh dunia, ICRC bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan, tentera, polis, pihak berkuasa penjara, universiti dan sektor lain dalam masyarakat sivil untuk membangunkan kesedaran LoAC, juga dikenali sebagai undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Ia juga menawarkan kepakarannya untuk membantu kerajaan-kerajaan memenuhi tanggungjawab mereka dengan meluluskan undang-undang yang berkaitan dan membantu dalam latihan angkatan tentera mereka.

Kemaskini Terakhir : Rabu, 31 Mei 2017