Paparan: Kontras Tinggi | Asal
white blue red green big font small font W3C
20 November 2018 / 12 Rabiul Awal 1440
Tetapan

BULETIN UPNM

Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Kali Ke-8 UPNM

Penulis :BBKPA Khamis, 09 Nov 2017


UPNM, 7 November 2017 – Tanggal 7 November 2017 bersamaan 18 Safar 1439H, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) buat kali ketiga tercatat dalam lipatan sejak penubuhannya pada tahun 2006. Istiadat Pemasyhuran Canselor Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V sebagai Canselor UPNM ke-3 telah berlangsung dengan sempurnanya sempena Konvokesyen ke-8 UPNM bermula pada 7 dan 8 November 2017 yang diadakan di Dewan Tun Templer, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur. Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen ini berlangsung dengan penuh keunikan tersendiri dengan menyatukan kedua-dua istiadat ketenteraan dan awam.



Sebagai sebuah Universiti Awam yang berteraskan kepada falsafah, visi dan misi ke arah melahirkan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempunyai ‘intellectual leaders of character’, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad Ke-V selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera telah dimasyhurkan sebagai Canselor UPNM di Majlis Konvokesyen ini sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan UPNM. Yang Berhormat Dato Seri Idris Bin Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi merafak sembah Watikah Pelantikan Canselor kepada Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.



Pada Konvokesyen ke-8, UPNM telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana (Pengajian Strategik dan Hubungan Antarabangsa) kepada Brigedier Jeneral Dato’ Abdul Latif Bin Ahmad (Bersara).


Seramai 623 orang graduan bergraduat telah menerima Ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen ini. Daripada jumlah itu, 7 orang graduan dianugerahkan Doktor Falsafah (PhD) dan 26 orang graduan dianugerahkan Sarjana (MSc). Seramai 558 orang graduan adalah penerima Ijazah Sarjana Muda dengan seramai 368 Pegawai Kadet dan 190 orang Graduan Awam. Manakala 62 orang graduan adalah penerima Diploma.


Konvokesyen kali ini turut diserikan dengan penganugerahan hadiah Akademik kepada 26 orang graduan Ijazah Sarjana Muda dan 3 orang graduan Diploma.


Turut hadir pada Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Ke-8 UPNM ialah Menteri Pertahanan, Menteri Pertahanan, Timbalan Menteri Pertahanan, Panglima Angkatan Tentera, Panglima ketiga-ketiga perkhidmatan ATM dan wakil-wakil daripada kedua-kedua stakeholders.


Untuk memeriahkan lagi suasana konvokesyen, Konvosari@UPNM 2017 telah disusun dimana atur cara programnya bermula dari 3 hingga 8 November 2017. Di antara program adalah Kembara Konvosari@UPNM 2017, Malam Puisi @ Akustik Buatmu Rohingya (Artis Jemputan Caliph Buskers), Teater Force 136, Pertunjukkan Bunga Api, Pertandingan Mewarna bersama Maskot Didi & Friends, Pertandingan Teh Tarik, Pertandingan Memasak, Persembahan Ghazal serta gerai-gerai jualan termasuk Food Trucks.

Kemaskini Terakhir : Khamis, 09 November 2017