Paparan: Kontras Tinggi | Asal
white blue red green big font small font W3C
20 November 2018 / 12 Rabiul Awal 1440
Tetapan

BULETIN UPNM

3 Saintis Kejuruteraan UPNM Ungguli Anugerah Berprestij

Penulis :PJKPD Khamis, 16 Nov 2017

India, 11 November 2017 - Bidang penyelidikan negara sekali lagi mencatat sejarah manis apabila menerima pengiktirafan saintis dari Pertubuhan Penyelidikan Antarabangsa Venus, yang berpusat di India. Anugerah saintis ini diberikan kepada penyelidik-penyelidik akademik yang cemerlang dalam menghasilkan penyelidikan bersifat translational yang mampu memberikan manfaat kepada masyarakat melalui penyelidikan.



Kejayaan paling manis adalah kepada penyelidik-penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana mengungguli penerimaan pingat bertaraf saintis dengan membawa pulang 3 anugerah. Anugerah tersebut adalah Anugerah Saintis Kehormat dan 2 Anugerah Outstanding Saintis.


Mohammed Alias Yusof yang dianugerahkan Saintis Kehormat Kejuruteraan Awam dipilih berdasarkan kepakarannya dalam bidang struktur tahan impak letupan yang dapat mengukuhkan kekuatan struktur bangunan seterusnya menaikkan tahap keselamatan negara. Muhamad Azani Yahya pula dianugerahkan Outstanding Saintis Kejuruteraan Awam atas penyelidikan dan inovasi dalam bidang bahan binaan berinovatif dan peralatan keselamatan lalulintas. Sementara itu, Vikneswaran Munikanan yang banyak memberikan sumbangan kepada pembangunan kelestarian dianugerahkan Outstanding Saintis Kejuruteraan Alam Sekitar. Ketiga-tiga pensyarah daripada universiti awam ini memfokuskan penyelidikan berasaskan translational sejajar dengan seruan Kementerian Pengajian Tinggi.


Usaha murni dalam bidang penyelidikan dan inovasi ini membuka peluang agar jalinan kerjasama penyelidikan dapat direalisasikan dengan universiti-universiti terkemuka dunia. Pertubuhan Penyelidikan Antarabangsa Venus ini ditubuhkan sebagai asas untuk penyelidik-penyelidik seluruh dunia berkumpul dan bertukar-tukar idea serta mengukuhkan kajian-kajian dalam pelbagai bidang. Pertubuhan ini memberikan anugerah berdasarkan pemilihan atas faktor-faktor yang berteraskan sumbangan kepada masyarakat oleh jawatankuasa APEX. Turut hadir menerima anugerah adalah penyelidik-penyelidik daripada universiti tempatan dan antarabangsa. Penganugerahan antarabangsa ini membuktikan bahawa penyelidik-penyelidik tempatan mampu memberikan khidmat penyelidikan dan sumbangan terhadap kesejahteraan kehidupan sejagat.



Kemaskini Terakhir : Khamis, 16 November 2017