Paparan: Kontras Tinggi | Asal
white blue red green big font small font W3C
18 December 2018 / 10 Rabiul Akhir 1440
Tetapan

BULETIN UPNM

Kesemua Universiti Awam kini berstatus Autonomi

Penulis :PJKPD Jumaat, 05 Okt 2018


KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2018 - Kesemua 20 universiti awam (UA) di negara ini kini berstatus autonomi selepas enam UA terakhir menerima watikah autonomi daripada Kementerian Pendidikan hari ini.


Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata status autonomi memberikan kuasa kepada Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan Lembaga Gabenor Universiti masing-masing membuat apa juga keputusan.


"Autonomi adalah penurunan kuasa yang membolehkan universiti bergerak dengan berkesan bagi mencapai kecemerlangan dan memperkasakan institut pengajian tinggi awam ke peringkat dunia.



"Status autonomi juga membolehkan universiti Iebih fleksibel dalam membuat keputusan bagi menentukan hala tuju mereka termasuk dari segi kewangan dan pengurusan sumber manusia," katanya.


Menurut kenyataan itu, meskipun UA mempunyai kuasa untuk mengurus sumber tanpa perlu merujuk kepada agensi pusat, UA perlu mematuhi prinsip asas kerana autonomi UA bukan bersifat mutlak dan masih tertakluk kepada pengarahan am pendidikan tinggi, strategi dan dasar kerajaan serta kementerian.


Program pelaksanaan autonomi UA diperkenalkan pada 2012 di bawah pelan tindakan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara bagi mengubah paradigma UA ke arah pengurusan pendidikan tinggi yang lebih berkesan.


"Penurunan kuasa ini dilakukan secara berperingkat kerana memerlukan rundingan antara Kementerian Pendidikan dan agensi-agensi pusat," demikian menurut kenyataan itu.


Sebelum ini, 14 UA telah mendapat status autonomi masing-masing.


Enam universiti yang menerima watikah autonomi hari ini ialah Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Perlis.



Sumber: BERNAMA


Kemaskini Terakhir : Jumaat, 05 Oktober 2018