Paparan: Kontras Tinggi | Asal
white blue red green big font small font W3C
19 December 2018 / 11 Rabiul Akhir 1440
Tetapan

BULETIN UPNM

Istiadat Konvokesyen Ke-9 UPNM

Penulis :BKKPA Jumaat, 23 Nov 2018


UPNM, 14 November 2018 – Istiadat Konvokesyen ke-9 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) buat pertama kalinya diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) hari ni. Istiadat Konvokesyen ini berlangsung dengan penuh keunikan tersendiri dengan menyatukan kedua-dua istiadat ketenteraan dan awam.



Sebagai sebuah Universiti Awam yang berteraskan kepada falsafah, visi dan misi ke arah melahirkan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempunyai ‘intellectual leaders of character’, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad Ke-V, Tuanku Canselor UPNM diwakili oleh Yang Teramat Mulia Brigedier Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah, Pro Canselor UPNM menyempurnakan Istiadat Konvokesyen ke-9 UPNM kali ini.


Pada Konvokesyen ke-9, UPNM telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan Sumber kepada Yang Teramat Mulia Brigedier Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah, Pro Canselor.


Seramai 740 orang graduan bergraduat telah menerima Ijazah masing-masing. Daripada jumlah itu, 16 orang graduan dianugerahkan Doktor Falsafah (PhD) dan 42 orang graduan dianugerahkan Sarjana (MSc). Seramai 524 orang graduan adalah penerima Ijazah Sarjana Muda dengan yang terdiri daripada 261 Pegawai Kadet dan 263 orang Graduan Awam. Manakala 158 orang graduan adalah penerima Diploma.



Istiadat Konvokesyen kali ini diserikan dengan penganugerahan Hadiah Akademik kepada 26 orang graduan Ijazah Sarjana Muda dan 6 orang graduan Diploma.


Turut hadir pada Istiadat Konvokesyen Ke-9 UPNM adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Pro-Pro Canselor, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti, Naib-naib Canselor / Rektor-rektor Universiti Awam, Panglima Angkatan Tentera, Panglima-Panglima perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia serta tetamu jemputan.


Untuk menyemarakkan lagi suasana konvokesyen, Konvosari@UPNM2018 telah disusun atur cara programnya bermula dari 9 hingga 14 November 2018 di Kampus UPNM.


Kemaskini Terakhir : Jumaat, 23 November 2018