Paparan: Kontras Tinggi | Asal
white blue red green big font small font W3C
18 September 2019 / 18 Muharram 1441
Tetapan

BULETIN UPNM

Sambutan Hangat Diterima Untuk Program Sentuhan Kasih@JPT 2019 anjuran UPNM

Penulis :Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa Khamis, 29 Ogos 2019


Bukit Jalil, 28 Ogos 2019 – Bahagian Pengurusan Akademik, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dengan kerjasama Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA), Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ini telah menganjurkan Program Sentuhan Kasih@JPT 2019.



Program yang dianjurkan di Dewan Olimpik, SSBJ berkenaan telah dihadiri oleh wakil dari Kementerian Pendidikan Malaysia, Pengurusan Universiti, Pelajar-pelajar sekolah sekitar Lembah Klang serta staf UPNM sendiri.


Majlis telah dirasmikan oleh YBhg Lt Jen Dato’ Hj. Abdul Halim bin Hj. Jalal, Naib Canselor UPNM. Turut sama-sama menyaksikan perasmian majlis berkenaan adalah En. Wahi bin Nordin, Pengarah BKPA, Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Malaysia dan Pengetua SSBJ, En. En. Ithnin bin Mahadi.



Perbarisan kontinjen juga telah diadakan oleh pelajar daripada AKP yang diakhiri dengan penyerahan obor bagi menyempurnakan perasmian majlis berkenaan. Seiring dengan tema Bulan Kemerdekaan, bendera Malaysia dan UPNM juga telah dikibarkan sepanjang perbarisan berlangsung.



Antara lain, sebanyak 30 booth pempamer juga ditempatkan di dalam dewan yang memperlihatkan pameran daripada universiti awam, kolej komuniti dan politeknik serta agensi-agensi swasta dan kerajaan. Selesai daripada upacara perasmian, YBhg Lt Jen Dato’ Hj. Abdul Halim telah melawat ke setiap booth berkenaan dan menyampaikan cenderamata.


Untuk makluman, Program Sentuhan Kasih ini merupakan satu siri program yang dianjurkan bagi laluan khas golongan B40, orang asli dan atlet di seluruh Malaysia menyambung pelajaran di peringkat tinggi. Karnival berkenaan dianjurkan sepanjang bulan Julai hingga September 2019 di beberapa lokasi atau zon di seluruh Malaysia. Ianya merupakan kesinambungan daripada program ‘Jom Masuk U’ yang telah diadakan awal tahun ini.


Selaku penganjur program berkenaan bagi kali ini (zon ke-6), UPNM dengan sukacitanya telah mensasarkan golongan atlet untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Ini membezakan UPNM dengan UPU lain di mana universiti lain memfokuskan kepada golongan B40 dan orang asli.

Kemaskini Terakhir : Khamis, 29 Ogos 2019