Paparan: Kontras Tinggi | Asal
white blue red green big font small font W3C
18 November 2019 / 20 Rabiul Awal 1441
Tetapan

BULETIN UPNM

Program Sembang Ilmu & Pelancaran e-Zakat UPNM

Penulis :Pusat Islam Rabu, 06 Nov 2019

Sungai Besi, 17 Oktober 2019 - Pusat Islam Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) baru-baru ini telah mengadakan Program Sembang Ilmu Bersama Dato Ustaz Hj. Badli Shah & Pelancaran e-Zakat UPNM bertempat di Dewan Bestari UPNM. Program ilmu ini dihadiri hampir 200 warga UPNM dari kalangan staf dan pelajar. Kehadiran Imam Besar Masjid Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan, Pahang ini sememangnya dinantikan oleh sebilangan besar warga UPNM selepas kali terakhir beliau menjejakkan kaki di kampus UPNM ini kira-kira lima tahun yang lalu.


Pada program kali ini, YBhg. Dato Ustaz Hj. Badli Shah telah menyampaikan ceramah bertajuk ‘Sukarkah Berubah?’ yang begitu relevan dengan peristiwa Hijrah Rasulullah SAW. Dalam ceramah beliau, YBhg. Dato Ustaz Hj. Badli Shah menyentuh tentang peri pentingnya perubahan dalam kehidupan makhluk apatah lagi pada diri manusia itu sendiri. Dengan membawa contoh perubahan atau hijrah yang dilakukan oleh beberapa haiwan seperti burung dan penyu yang tujuan hijrah haiwan tersebut untuk manfaat kepada haiwan tersebut, sedikit sebanyak menampakkan betapa manusia juga perlu berubah untuk memberikan impak yang lebih positif dalam diri seseorang manusia. Namun, dalam masa yang sama perubahan juga perlu pada keazaman dan perancangan yang betul agar seseorang itu dapat kekal beristiqamah lebih-lebih lagi dalam beribadah kepada Yang Maha Esa.


Ceramah yang berlangsung selama hampir satu setengah jam ini turut dihadiri oleh YBhg. Lt Jen Dato Hj. Abd Halim bin Hj. Jalal, Naib Canselor UPNM serta pengurusan tertinggi Universiti.


Pada penghujung acara, YBhg. Naib Canselor telah menyampaikan cenderahati kepada penceramah jemputan seterusnya menyempurnakan Pelancaran e-Zakat UPNM yang diadakan sebagai pengenalan dan galakan kepada warga UPNM untuk memohon bantuan zakat secara dalam talian. Bantuan zakat ini boleh diakses di laman web http://zakat.upnm.edu.my/ tanpa perlu mengisi borang permohonan secara manual lagi. Majlis pelancaran e-Zakat UPNM ini turut disaksikan oleh Lt Kol (Ust) Dr. Hj. Daud bin Hj. Mohamed Salleh (Bersara), Pengarah Pusat Islam dan Dr. Mohd. Rizal bin Mohd Isa, Pengarah Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi yang bekerjasama membangunkan sistem e-Zakat UPNM ini.



Kemaskini Terakhir : Khamis, 07 November 2019