PANDUAN RINGKAS PENYERAHAN MANUSKRIP PENERBITAN ILMIAH/UMUM

PENYERAHAN MANUSKRIP

Pengarang dikehendaki menyerahkan SATU (1) salinan manuskrip lengkap yang bercetak dan SATU (1) salinan elektronik manuskrip berkenaan. Serahan hendaklah disertakan dengan Borang Cadangan Penerbitan Ilmiah/Umum yang telah dilengkapkan. Pengarang diingatkan supaya menyimpan satu salinan manuskrip dan salinan elektronik. Manuskrip yang diserahkan kepada Penerbit UPNM hendaklah merupakan draf akhir (final draft) yang lengkap dan BUKANNYA suatu draf yang akan dipinda kemudiannya. Pengarang buku juga perlu menyerahkan sinopsis untuk dimuatkan pada kulit belakang buku. Manuskrip hendaklah diserahkan dalam bentuk rata, iaitu tidak berlipat, bergulung atau berjilid. Jadual, graf, gambar rajah atau lukisan hendaklah diberi tajuk yang sesuai dan diletak terus dalam teks (jika menggunakan perisian Word), atau dalam bahagian Lampiran. Jika bahan tersebut tidak disediakan dalam perisian Word, bahan tersebut hendaklah disimpan dalam format JPEG 300 dpi (berwarna) atau bmp (hitam putih). Manuskrip yang diserahkan/dipinda dengan tulisan tangan TIDAK akan diterima. Sila hubungi Pegawai Penerbitan Penerbit UPNM jika anda memerlukan nasihat atau panduan dalam proses membina karya anda. Manuskrip yang dibina dengan baik akan memudahkan proses penerbitan.

REKA LETAK TEKS

Reka letak teks hendaklah diberikan perhatian dari peringkat awal penyediaan manuskrip berpandukan sistem berikut:

Halaman bab – Saiz taip nombor (dengan angka Arab) dan tajuk hendaklah lebih besar daripada saiz teks. Tajuk bab boleh dibuat dalam huruf besar, atau huruf besar dan huruf kecil, dan boleh diletak sama ada di tengah, santak ke kiri atau ke kanan menggunakan saiz taip yang sesuai supaya lebih menarik. Pecahan tajuk bab kepada subtajuk boleh dibuat tetapi pecahan lebih daripada LIMA (5) lapis subtajuk tidak digalakkan. Pecahan subtajuk boleh dibuat dengan menggunakan huruf tertentu tanpa menggunakan sistem nombor.

Saiz taip dan fon membezakan pecahan status tertinggi hingga terendah dalam sesuatu bab.

SUBTAJUK PERTAMA – 12 poin, huruf besar, tebal

Subtajuk Kedua – 12 poin, huruf besar & kecil, tebal

Subtajuk ketiga – 12 poin, huruf besar & kecil, tebal, condong

Subtajuk keempat – 11 poin, huruf besar, normal

Subtajuk kelima – 11 poin, huruf besar & kecil, condong

Kesemua subtajuk disantak ke kiri tanpa indentation. 2

 

SEMAKAN TEKS

Sebelum menyerahkan manuskrip, Pengarang hendaklah menyemak perkara-perkara berikut:

  1. Ejaan (Kamus Dewan)/spell-check UK English.

  2. Pengiraan/input data jadual/rajah/simbol matematik dan formula.

  3. Ketekalan (consistency) butiran dalam senarai kandungan, ilustrasi, teks dan rujukan mengikut format APA (versi terkini).

    - Perkataan sama (ejaan/singkatan).

    - Penggunaan huruf besar dan kecil, huruf condong tekal.

    - Semua label, urutan jadual dan rajah mestilah tepat.

  1. Tiada unsur plagiat dan pelanggaran hak cipta.

  2. Bibliografi /Rujukan.

    - Ditulis mengikut format APA (versi terkini).

    - Nombor halaman dan tanda petikan (quotation marks) dimasukkan bagi petikan.

    - Tarikh dan ejaan nama dalam teks serta bibliografi tekal.

  1. Semua bahan lampiran disertakan.

  2. Gambar/Imej/Rajah disertakan. 

 

IMEJ/CARTA/GRAF/LAMPIRAN

Serahan manuskrip yang mempunyai imej/carta/graf/lampiran, Pengarang wajib menghantar imej/carta/graf/lampiran dalam format .doc, .pdf, .jpg, .jpeg or .gif sahaja. Saiz minima yang dibenarkan adalah 1 MB dan WAJIB dihantar menggunakan fail yang berasingan..

 

PANDUAN PENYEDIAAN INDEKS

Bahan yang Perlu Diindeks

  • Bab pengenalan/pendahuluan/kata pengantar yang mempunyai isi kerana lazimnya pengarang memberikan takrifan awal tentang kata kunci atau perkara utama yang dibincangkan pada bahagian ini.

  • Judul/subjudul dalam teks merangkumi bahagian ilustrasi.

  • Isi teks: Semua penjelasan, penghuraian yang melibatkan takrifan, proses, langkah-langkah dan pembutiran perlu diindeks.

  • Nama khas: Nama individu yang dibincangkan (bukan bermaksud nama individu yang dirujuk atau dalam rujukan Pengarang).

  • Nama orang, nama tempat termasuk nama negara, negeri dan daerah serta nama jalan dan nama kampung yang dibincangkan dan dihuraikan.

  • Bahan ilustrasi: Teks, jadual, carta, graf, peta, lakaran dan gambar yang mempunyai kapsyen dan keterangan.

  • Semua bahan akhiran (rujukan, glosari, lampiran).

  • Catatan hujung yang mengandungi isi iaitu maklumat atau penjelasan tentang sesuatu perkara, tokoh atau peristiwa.

 

Bahan yang Tidak Perlu Diindeks

  • Semua bahan awalan, halaman judul, halaman hak cipta, kandungan, senarai jadual, rajah dan kependekan.

  • Nama orang, nama tempat termasuk nama negara, negeri dan daerah serta nama jalan dan nama kampung yang hanya disebut sepintas lalu.

  • Catatan/Nota hujung yang tidak mempunyai keterangan.