Paparan: Kontras Tinggi | Asal
white blue red green big font small font W3C
13 July 2020 / 22 Zulkaedah 1441
Tetapan

BULETIN UPNM

Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Muda Tentera Laut 2020

Penulis :Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa Jumaat, 26 Jun 2020

Lumut, 25 Jun 2020 - Timbalan Panglima Tentera Laut (TPTL), Laksamana Madya Dato’ Abdul Rahman bin Hj Ayob hari ini telah menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat PKK TLDM yang diadakan di Auditorium Venus, Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan TLDM (MPPL), Pangkalan TLDM Lumut, Perak.



Seramai 29 PKK TLDM terdiri daripada 22 lelaki dan 7 wanita telah menyertai perkhidmatan melalui kemasukan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Pengambilan 2014 dan 2015. Mereka telah menjalani tempoh pengajian dan latihan ketenteraan di UPNM dan KD SULTAN IDRIS I (KDSI I) selama empat tahun bagi PKK dari Cawangan Eksekutif dan Bekalan manakala lima tahun bagi Cawangan Kejuruteraan. Mereka dijadualkan menyertai perbarisan tamat latihan dan upacara pentauliahan pada 18 Mac 20 namun terpaksa dibatalkan disebabkan oleh pandemik COVID-19. Lanjutan dari penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), MPPL sebagai markas latihan telah melaksanakan Majlis Pemakaian Pangkat PKK TLDM mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh kerajaan. Pemeriksaan suhu badan oleh semua yang terlibat, penyediaan kaunter cecair pembasmi kuman yang mencukupi, penjarakan sosial dikalangan pelatih dan jemputan di dalam auditorium serta meminimumkan jumlah kehadiran tanpa penglibatan keluarga pelatih merupakan langkah SOP yang telah dilaksanakan sepanjang majlis berlangsung.


Kemuncak acara pada majlis tersebut adalah penganugerahan Piala Seri Samudera dan Pedang Kehormat kepada PKK Terbaik Keseluruhan. Penganugerahan ini dibuat berdasarkan sikap terpuji yang dipamerkan dengan kesungguhan dan kecemerlangan dalam bidang akademik dan ketenteraan. Anugerah ini telah disandang oleh Lt Muda Muhamad Ikmal bin Mohd Saed TLDM.



YBhg TPTL dalam ucapannya menzahirkan ucapan tahniah kepada Pegawai Muda yang secara rasminya diberi tanggungjawab untuk memikul amanah sebagai seorang pegawai di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya, dan TLDM khasnya. YBhg TPTL menyeru agar kesemua mereka berusaha bersungguh-sungguh dan memberikan komitmen yang tinggi di dalam pelaksanaan tugas di masa hadapan. YBhg TPTL turut menekankan 4 nilai teras iaitu kemuliaan (honour), kesetiaan (loyalty), keberanian (courage) dan kebanggaan (pride) yang wajib dijadikan panduan dan amalan dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan.


Selain dari itu, YBhg TPTL turut mengingatkan kesemua warga agar sentiasa mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh kerajaan dalam usaha untuk mengawal penularan wabak COVID-19 dan seterusnya memutuskan rantaian jangkitan wabak ini. Di akhir ucapan, YBhg TPTL turut menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kesemua pegawai dan jurulatih yang telah terlibat dalam memastikan aspek latihan yang mantap dan pembelajaran yang efisien untuk menghasilkan modal insan yang kompeten.

Kemaskini Terakhir : Jumaat, 26 Jun 2020