Isnin, 06 September 2010

BERITA TERKINI

Minggu Haluan Siswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia 2010

Penulis :BKK Selasa, 13 Jul 2010


7 Julai 2010 - Minggu Haluan Siswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) 2010 yang diadakan dari 4hb hingga 10hb Julai 2010 merupakan satu medium dan platform untuk memberikan pendedahan awal kepada pelajar baru mengenai sistem pembelajaran dan kehidupan di universiti. Antara matlamat penganjuran program ini ialah bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang kehidupan kampus serta membentuk pembangunan sahsiah pelajar melalui pengisian program yang terancang dan memberikan pemahaman tentang peraturan-peraturan Universiti yang perlu dipatuhi.


Pada tahun ini seramai 882 pelajar telah mendaftar sebagai pelajar UPNM. Bagi kemasukan pelajar Asasi, seramai 383 orang pelajar telah mendaftar dengan pecahan pegawai kadet seramai 339 orang dan 44 orang sebagai pelajar awam. Kemasukan pelajar baharu ke Tahun 1 pula adalah seramai 499 orang dengan pecahan seramai 186 orang pelajar lepasan STPM dan Matrikulasi, manakala 313 orang lagi adalah pelajar Asasi yang berjaya ke Tahun 1 dengan pecahan pegawai kadet seramai 274 orang dan 39 orang sebagai pelajar awam.



Dalam program Minggu Haluan Siswa ini, pelajar diberi maklumat mengenai kehidupan dan suasana persekitaran kampus, sistem pembelajaran dan pengajaran semester serta peraturan dan akta-akta yang berkaitan dengan para pelajar. Antara pengisian program Minggu Haluan Siswa ini ialah Ceramah Khas daripada Institut Integriti Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit serta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional. Pelajar juga telah melalui Ceramah Kemahiran Belajar, Latihan Dalam Kumpulan, Pertandingan Sukan serta Taklimat Universiti merangkumi Bidang Akademik, Hal Ehwal Pelajar, Fakulti, Pusat Asasi dan Pusat Bahasa, Perubatan, Perpustakaan, Majlis Perwakilan Pelajar dan Pusat Ujian Tahap Kemahiran (Bahasa Inggeris dan Matematik).


Majlis Perasmian Minggu Haluan Siswa UPNM 2010 disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Menteri Pertahanan Malaysia (Menteri Mentor UPNM) pada 7 Julai 2010 jam 8.30 malam. YB Menteri juga turut berinteraksi dengan para pelajar baru UPNM menerusi sesi dialog yang diadakan.


Dalam Majlis tersebut, upacara melafazkan ikrar juga telah diadakan oleh pelajar sebagai menjadi simbolik bagi setiap para pelajar baru yang mendaftar dan bakal menjalani kehidupan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia yang dikenali sebagai sebuah universiti butik.


Adalah diharapkan agar kelangsungan Majlis Minggu Haluan Siswa UPNM 2010 ini dapat membangkitkan lagi semangat dalam diri para pelajar seiring dengan pembentukan sahsiah melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan bagi memacu kejayaan dan kecemerlangan akademik pelajar di UPNM.

Kemaskini Terakhir : Selasa, 13 Julai 2010
Hiper Rangkaian
mygov  mygov  kptm  jpa  iim  myideas  msc  mampu