BERITA TERKINI
Majlis Pelancaran Kursus Bahasa Mandarin Melalui Kerjasama UPNM Dengan Kongzi Institute
Rabu, 21 Jul 2010
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia hari ini mengukuhkan lagi hubungan kerjasama di antara Malaysia-China dengan melancarkan empat Kelas Bahasa Mandarin di UPNM untuk para pelajarnya. Majlis pelancaran yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaa), Prof Dr Raduan bin Hj Che Rose di Auditorium Bistari, UPNM turut dihadiri oleh Pengarah, Kong Zi Institute dan wakil dari Kedutaan Republik Rakyat China.

Hubungan kerjasama ini sebenarnya telah terjalin sejak tahun 2007 lagi melalui persefahaman di antara Beijing Foreign Studies University dan UPNM. Melalui persefahaman tersebut kedua-dua pihak bersetuju untuk saling bantu-membantu dan berkongsi kepakaran. Salah satu dari bidang perkongsian adalah pengajian Bahasa Mandarin. Untuk tujuan itu Beijing Foreign Studies University telah memberi kepercayaan kepada Kong Zi Institute bagi membantu UPNM berkaitan pengajian Bahasa Mandarin.
Sebagai memenuhi hasrat perkongsian pintar ini, Kong Zi Institute telah menghantar dua guru Bahasa Mandarin yang bukan sahaja akan mengajar kemahiran bahasa malah akan turut berkongsi pengalaman dan kebudayaan selain peradaban dan sejarah rakyat negara China.
Setakat ini UPNM telah menawarkan enam kursus pengajian bahasa meliputi bahasa Mandarin, Jepun, Arab, Sepanyol, Perancis dan Rusia. Kesemua kursus bahasa asing ini adalah di antara kursus wajib universiti yang perlu diambil dan perlu lulus oleh semua pelajar universiti. Akan datang UPNM turut bercadang untuk mengadakan Program Ijazah Bahasa dan Komunikasi Silang Budaya.






![[sidebarpic]](img/sidebarpic.jpg)







