Fakulti Kejuruteraan merupakan fakulti yang terbesar di UPNM kerana mempunyai 92 staf akademik termasuk 18 Jurutera Profesional sebagai tenaga pengajar serta dibantu oleh 33 staf bukan akademik. Fakulti Kejuruteraan komited dalam mencapai kecemerlangan sebagai sebuah Fakulti Kejuruteraan primier dalam aplikasi pertahanan yang menjurus kepada aspek pembangunan profesional, penjanaan, penyebaran ilmu pengetahuan, aplikasi kejuruteraan dan teknologi pertahanan. Pada masa ini, fakulti diuruskan oleh Dekan dan dua (2) Timbalan Dekan bersama-sama dengan empat (4) Ketua Jabatan, Penolong Pendaftar Kanan, Penolong Pendaftar, dan dua (2) Pegawai Sains Kanan.

Setakat ini, Fakulti Kejuruteraan mempunyai empat (4) jabatan merangkumi Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Kejuruteraan Aeronautik dan Penerbangan. Kini Fakulti menawarkan empat (4) program Ijazah Sarjana Muda yang telah diperkenalkan pada Sesi Akademik 2007/2008 dan satu (1) program Ijazah Sarjana Muda dengan mod 2u2i yang mula diperkenalkan pada Sesi Akademik 2018/2019. Program-program ini telah disusun untuk memenuhi falsafah, visi dan misi fakulti dalam melahirkan pemimpin yang mempunyai nilai-nilai positif, kepimpinan yang tinggi dan profesionalisme sebagai jurutera yang kompeten dalam bidang yang diceburi.

Sehingga 2020, jumlah kakitangan fakulti telah meningkat sebagai usaha untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Lembaga Jurutera Malaysia. Ini adalah bagi memastikan proses pengajaran dan aktiviti penyelidikan yang dijalankan adalah berkesan dan pertambahan bilangan staf selari dengan pertambahan bilangan pelajar mengikut piawaian yang ditetapkan.