Pejabat Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat) merupakan komponen penting kepada universiti dalam usaha menjadikan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebuah universiti yang cemerlang dan berdaya saing dalam sektor perindustrian negara mahupun global. Pejabat ini bertujuan meningkatkan keupayaan dan kemampuan pelajar UPNM bagi menghadapi persekitaran industri sebenar sebaik tamat pengajian selain memiliki keperibadian ‘Intellectual Leaders of Character’ yang menjadi teras universiti.

Sebagai memenuhi hasrat Kementerian Pengajian Tinggi dalam melaksanakan Dasar Latihan Industri, Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat sentiasa menitikberatkan proses pembangunan Universiti bersama industri seperti mewujudkan dan mengukuhkan jalinan industri dalam pelbagai bidang termasuk bidang industri pertahanan yang menjadi agenda utama penubuhan universiti ini.

Pelaksanaan hubungan universiti dengan industri telah bermula sejak penubuhan UPNM pada tahun 2006 lagi. Penglibatan pelajar dan tenaga pengajar dalam industri sentiasa dipergiatkan sepanjang tempoh tersebut sehingga ke hari ini bagi membantu pelajar dan tenaga pengajar menimba ilmu dan menambah baikan ilmu pengetahuan merangkumi perolehan pengalaman, pendedahan kepada amalan sebenar industri, mengaplikasikan pengetahuan dalam pengajaran dan pembelajaran, seterusnya melahirkan pelajar yang berkebolehan pasaran dan tenaga pengajar yang berintelektual di UPNM. Manakala di pihak industri, kerjasama ini merupakan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan bagi melahirkan modal insan yang lebih mapan, berketerampilan dan berkepimpinan kepada pegawai Angkatan Tentera Malaysia khasnya dan masyarakat keseluruhan amnya.