Penulis :Bahagian Hal Ehwal Korporat, Jaringan Industri dan Perhubungan Antarabangsa

 

KUALA LUMPUR, 8 Jun - Dua pelajar Malaysia berjaya menempatkan diri melalui proses pemilihan ketat untuk melanjutkan pengajian di dua akademi tentera berprestij di Amerika Syarikat (AS).

Mohamed Khairel Adha Mohd Khairee, Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan dan pelajar Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) berjaya diterima masuk ke Akademi Tentera Udara AS (USAFA) di Colorado Springs, Colorado dan akan mengikuti pengajian Kejuruteraan Aeronautika. Manakala Nicholas Ong Yong Xen dari Maktab Tentera Diraja (MTD) berjaya diterima masuk ke Akademi Tentera Laut AS (USNA) di Annapolis, Maryland untuk pengajian operasi siber.

UPNM turut menganjurkan Majlis Send Off kepada Pegawai Kadet Mohamed Khairel Adha Mohd Khairee dalam satu majlis secara maya. Menurut Lt Jen Dato’ Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM, kejayaan kedua-dua pelajar tersebut merupakan satu kebanggaan buat Malaysia, lebih-lebih lagi apabila mereka perlu melalui saingan hebat daripada calon-calon lain yang datang dari pelbagai negara. Oleh itu, seluruh warga UPNM amat gembira dan turut berbangga dengan kejayaan mereka.

Pesanan beliau, pelajar hendaklah memanfaatkan sebaik-baiknya peluang menimba ilmu di AS untuk membentuk kebolehan diri dalam aspek intelek, kepimpinan dan latihan ketenteraan. Pesan beliau lagi, pelajar hendaklah sentiasa mengekalkan disiplin diri, berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan cemerlang, dan sentiasa menjaga nama baik Malaysia. Selain itu, pelajar juga hendaklah mengambil peluang tersebut untuk membina hubungan erat dan mengenali kepelbagaian budaya pelajar negara lain menerusi penglibatan aktif dalam aktiviti berkumpulan.

 

Komandan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Brigedier Jeneral Rozainy bin Ahmad Rapiee @ Ahmad Ropiee TUDM turut menyampaikan pesanan kepada Pegawai Kadet Mohamed Khairel Adha supaya sentiasa komited dan berusaha gigih untuk lulus dengan cemerlang dengan membawa nilai-nilai yang baik yang telah dipelajari di ALK dan UPNM serta sekaligus mengharumkan nama Angkatan Tentera Malaysia.

Turut hadir, Profesor Dato’ Ts Dr. Ahmad Mujahid bin Ahmad Zaidi, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Dato’ Dr. Junaidah bt. Kamarruddin Penolong Naib Canselor (Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat) dan Kol Mohd Halme bin Hj. Zakaria, Timbalan Komandan ALK.

Semoga kerjasama komprehensif antara AS dan Malaysia akan terus menjadi usaha sama yang membawa manfaat bersama untuk meningkatkan hubungan pertahanan bilateral antara kedua-dua negara.

 

 

Kemaskini Terakhir : Jumaat, 11 Jun 2021