Majlis Penyerahan Rumah Projek Rintis Pembinaan Rumah Prototaip Penyelidikan Berasaskan Bamboocrete Kepada Veteran ATM

Penulis :Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa Sabtu, 10 April 2021

Melalui penganugerahan pelbagai geran penyelidikan yang diperolehi, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah menghasilkan pelbagai produk penyelidikan dan inovasi selaras dengan hasrat Universiti untuk membangunkan budaya penyelidikan yang inovatif dan kompetitif.

Salah satu penghasilan produk inovasi dan penyelidikan UPNM untuk komuniti terfokus yang dihasilkan iaitu Rumah Prototaip Berasaskan Bamboocrete di Tampin, Negeri Sembilan. Melalui geran yang disalurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), rumah berkenaan telah siap dibina dan diserahkan kepada salah seorang veteran tentera.

 

Projek rintis rumah bamboocrete berkenaan merupakan satu usahasama antara UPNM dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Projek rumah setingkat yang berkeluasan 81 meter per segi (875 kaki per segi) ini telah menelan belanja sebanyak RM85,000 dan menggunakan kaedah binaan berindustri (IBS). Projek binaan rumah telah siap dibina sepenuhnya pada 15 Februari 2021.

 

Majlis serah kunci rumah projek berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Prof. Dato' Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain Pengarah, Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan IPT, mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, KPT, Lt. Jen Dato’ Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM dan Mejar Jeneral Dato’ Dzulkarnain bin Ahmad, Ketua Pengarah JHEV.

 

Turut hadir adalah wakil Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan, Kementerian Pertahanan, JHEV daripada Negeri Sembilan, wakil Pengurusan Tertinggi UPNM dan Ketua Kampung Sri Repah, Tampin, di mana rumah berkenaan telah dibina.

 

Projek rintis rumah bamboocrete ini dilihat sebagai salah satu usaha untuk memacu hala tuju penyelidikan dan inovasi UPNM bagi tujuan pembangunan serta pengkomersilan, dalam jangka masa panjang. Ini secara tidak langsung dapat memangkin usaha usaha penyelidikan dan memberi motivasi kepada para penyelidik untuk menghasilkan produk-produk yang memberi impak kepada komuniti, seiring dengan konsep ‘Quadruple Helix’ iaitu sumbangan akademik kepada kerajaan, industri dan komuniti.

Melalui projek ini juga, UPNM juga berhasrat untuk membudayakan konsep memberi semula kepada komuniti, atau “give back to the society”. Secara tidak langsung, projek ini mampu menaikkan lagi taraf hidup masyarat setempat agar kehidupan lebih mampan dapat dicapai oleh komuniti luar bandar.

 

Secara tidak langsung, usahasama dengan JHEV ini juga membuka peluang kepada UPNM untuk terus menghulurkan bantuan kepada veteran ATM yang memerlukan. Inisiatif ini melambangkan keprihatinan Universiti untuk membantu veteran ATM yang kurang berkemampuan. Secara tidak langsung, kerjasama antara UPNM dan JHEV ini memberi tanda aras kepada hubungan positif yang sudah lama terjalin dengan agensi di bawah Kementerian Pertahanan.

 

Melalui geran yang diperolehi daripada KPT dan pelbagai agensi, UPNM akan terus meneroka peluang penyelidikan dan inovasi pada masa-masa akan datang.


Kemaskini Terakhir : Sabtu, 10 April 2021