Prakata Pengarah Pusat APEL, UPNM
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Salam 1 UPNM.
Selamat datang ke Pusat Penilaian APEL UPNM. Pusat Penilaian APEL UPNM merupakan salah satu pusat akademik di bawah tanggungjawab Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPNM. Pusat Penilaian APEL UPNM sentiasa peka ke atas definisi dan konsep Pengajian Sepanjang Hayat (PSH) yang selari dengan aspirasi semasa negara bagi mencapai matlamatnya menjadi sebuah negara maju.
APEL merupakan Pengkreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu. Justeru, selaras dengan hala tuju utama penubuhan UPNM untuk menjadi universiti pertahanan premier dalam bidang pendidikan, latihan dan penciptaan ilmu, Pusat Penilaian APEL UPNM membuka peluang kepada kalangan tentera khususnya, yang memenuhi syarat dan berkeinginan untuk menyambung pengajian di IPT melalui program APEL.
APEL terbahagi kepada dua jenis iaitu APEL.A dan APEL.C. APEL.A memberi peluang kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pelajaran di IPT. Secara umumnya, penilaian APEL.A melibatkan penilaian terhadap ilmu yang diperoleh seseorang itu menerusi pendidikan formal mahupun menerusi pengalaman terdahulu.
APEL.C pula adalah proses penilaian pembelajaran (tidak formal dan bukan formal) seseorang individu berdasarkan pengalaman terkumpul (pengetahuan dan kemahiran) terhadap hasil pembelajaran yang telah ditetapkan bagi sesuatu kursus dalam mana-mana program pengajian bagi tujuan menganugerahkan kredit yang dapat dipindahkan ke dalam program pengajian yang berkaitan di universiti. Konsep utamanya ialah penilaian pembelajaran dan bukannya penilaian pengalaman.
Akhir madah, marilah mengorak langkah dengan menjadikan Pusat Penilaian APEL UPNM sebagai hub pengajian anda dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran serta meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Pihak kami amat mengalu-alukan permohonan daripada anda untuk menjadi sebahagian daripada warga UPNM. Selamat maju jaya menerusi pembelajaran sepanjang hayat.
Salam hormat,
Dr. Nor Azliana Akmal binti Jamaludin
Pengarah Pusat Penilaian APEL
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia