Pada 20 November 2021, bertempat di Sek Keb Bukit Rok, Bera, Pahang telah berlangsung Program Walkabout YAB Perdana Menteri bersempena Program Khidmat Komuniti bersama UPNM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama Pejabat Parlimen Bera. Terdahulu Program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) diadakan dari 15 November dan berakhir pada 26 November 2021. Dengan bertemakan Kesihatan Wanita dan Kanak-kanak, seramai 50 orang pelajar Tahun 3 Fakulti Perubatan diiringi 15 pensyarah menjalankan program pemeriksaan kesihatan bersama masyarakat Kampung Bukit Rok.

Semasa program berlangsung, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri menyaksikan pertukaran dokumen Kolaborasi Strategik di antara Lt Jen Datuk Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM dan Hajah Sapiah binti Dato’ Mohd Nor, Ketua Pengarah JAKOA. Majlis disusuli dengan penyerahan replika cek bernilai RM 90,840.00 kepada UPNM berupa bantuan skim pendidikan kepada 4 orang pelajar Orang Asli yang kini sedang menuntut di UPNM. YAB Perdana Menteri juga turut berkesempatan menyantuni Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tok Batin dari Kampung Bukit Rok dan Kampung Ibam dengan menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Turut hadir adalah YB Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Senator Dato’ Dr Mah Hang Soon, Timbalan Menteri Pendidikan 1, KSU KPM, KP KPT, Pengurusan Tertinggi UPNM, Pegawai-pegawai JAKOA, Pegawai Daerah, ADUN dan Pejabat Parlimen Bera.