Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)

Kata-kata aluan dari Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)

Penyelidikan dan Inovasi (P&I) merupakan agenda penting bagi setiap universiti di seluruh dunia. Walaupun UPNM merupakan sebuah Universiti yang baru, agenda P&I dianggap sama penting sepertimana agenda akademik yang lain di universiti ini. UPNM bertekad untuk menerapkan budaya kecemerlangan penyelidikan di mana semua staf akademik terlibat secara aktif dalam aktiviti penyelidikan. UPNM boleh berbangga kerana ia merupakan satu-satunya institusi yang mempunyai kedudukan yang istimewa bagi menjalankan aktiviti penyelidikan dalam bidang yang cukup unik, iaitu, Pertahanan dan Keselamatan. Oleh kerana itu, mana-mana aktiviti penyelidikan yang dijalankan di universiti ini berkisar kepada bidang yang unik ini.

Bagi merealisasikan agenda penting ini adalah menjadi tugas universiti untuk menyediakan persekitaran penyelidikan dan inovasi yang kondusif. Pengalaman daripada institusi-institusi ternama di dunia jelas menunjukkan bahawa tugas untuk mewujudkan budaya penyelidikan yang kondusif adalah sesuatu yang amat mencabar. Terdapat banyak faktor yang akan menentukan kejayaan pemupukan budaya penyelidikan dalam institusi akademik. Salah satu faktor penting ialah keadaan yang membolehkan penyelidik menjalankan aktiviti penyelidikan mereka dalam suasana yang produktif dan bermakna. Ini hanya boleh dilakukan sekiranya dana penyelidikan boleh diperolehi dengan mudah. Dalam kegawatan ekonomi sekarang tugas untuk menyediakan dana penyelidikan dalaman agak sukar, malahan ia menjadi lebih sukar lagi untuk mendapatkan dana atau geran penyelidikan dari sumber luar. Dalam kita mengakui geran penyelidikan dan keupayaan penyelidikan adalah penting bagi penyelidik, kewujudan infrastruktur yang mencukupi juga penting. Bagi para penyelidik, kemungkinan untuk mendapatkan geran penyelidikan bergantung sepenuhnya kepada keupayaan mereka untuk mengemukakan cadangan penyelidikan yang baik kepada badan-badan pembiaya dana.

Penubuhan Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi (PPPI) menjadi titik tolak dalam membina persekitaran penyelidikan yang kondusif di universiti ini. Peranan PPPI termasuklah menggubal dasar dan garis panduan penyelidikan, membantu penyelidik dalam memperkasa keupayaan penyelidikan mereka, mendapatkan dana penyelidikan serta mengurus dana tersebut secara cekap dan berkesan. Peranan pentadbiran yang lain termasuk juga berkomunikasi dengan agensi luar (seperti KPT, MOSTI dan lain-lain) dalam isu-isu yang berkait dengan pembiayaan dana penyelidikan, pemantauan kemajuan penyelidikan secara berkala dan hal-hal lain yang dapat melicinkan perjalanan agenda penyelidikan di UPNM.

Kesemua peranan dan objektif ini merupakan sebahagian daripada "Pelan Strategik bagi Penyelidikan dan Inovasi" di UPNM. Pelan strategik ini akan digunapakai sebagai rujukan dalam usaha kearah mencapai kecemerlangan penyelidikan. Dengan keazaman dan iltizam serta usaha yang berterusan oleh semua pihak, UPNM akan berjaya mencapai impiannya iaitu untuk menjadi sebuah institusi terkemuka dalam bidang penyelidikan "Pertahanan dan Keselamatan", bukan sahaja diperingkat negara malahan juga diperingkat serantau dan antarabangsa.