Pada 22 Feb 2022, Majlis Amanat Naib Canselor UPNM telah dilaksanakan dengan jayanya secara hibrid.  Majlis amanat dimulakan dengan tayangan montaj memaparkan pencapaian gemilang UPNM sepanjang tahun 2021 dan kejayaan aktiviti-aktiviti serta pelaksanaan program-program yang signifikan.

Dalam amanatnya, YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM telah mengungkap “Menjulang Tekad Mendepani Cabaran” sebagai tema pada kali ini. Tema ini merumuskan UPNM beriltizam dan berusaha dengan penuh kegigihan dan kebijaksanaan dalam menghadapi segala cabaran mendatang demi untuk meraih kejayaan dan kecemerlangan.

Naib Canselor juga menggariskan enam Teras Strategik UPNM Tahun 2022 bagi melengkapi Rangka Tindakan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi atau Sejahtera IPT. Teras Strategik ini merangkumi halatuju UPNM secara holistik dan berfokus bagi melaksanakan perancangan di peringkat universiti, nasional dan antarabangsa.

Beliau juga memberi sokongan yang padu bagi menjaga keselesaan, keselamatan dan kebajikan staf, mahasiswa dan alumi UPNM. Naib Canselor mengakhiri amanatnya dengan mengharapkan semua lapisan kepimpinan menyimpulkan tekad dan iltizam dengan penuh rasa amanah dalam melaksanakan tanggungjawab demi melonjakkan kecemerlangan UPNM di persada dunia.

Turut hadir di Majlis Amanat Naib Canselor UPNM secara bersemuka adalah Pegawai-pegawai Pengurusan Tertinggi UPNM, Timbalan Komandan ALK, Pegawai-pegawai PJIPK dan Pejabat Naib Canselor.