25 Feb 2022 - Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency) telah memperakukan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebagai sebuah Pusat Penilaian APEL yang baharu di Malaysia. Majlis Penyerahan Sijil Pusat Penilaian APEL UPNM telah diadakan di Bilik Mesyuarat Senat UPNM dan disampaikan oleh Profesor Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kepada Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah Naib Canselor UPNM.

MQA yang bertanggungjawab untuk memantau dan menyelia amalan jaminan kualiti dan akreditasi pendidikan tinggi negara telah memperkenalkan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu atau Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL). Melalui platform ini, APEL membuka peluang yang seluasnya kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi.

Dalam ucapan Naib Canselor UPNM, beliau memaklumkan melalui Pusat Penilaian APEL, lebih 100,000 warga ATM disediakan laluan berasaskan pengalaman bagi membolehkan mereka meningkatkan tahap akademik. Beliau menambah akses terhadap pengajian tinggi seharusnya  menjadi lebih mudah dan menarik, sekaligus dapat menyemarakkan pembangunan masyarakat berilmu ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Turut hadir sama menjayakan majlis secara hibrid ini termasuklah Pegawai-pegawai Pengurusan Tertinggi UPNM, Pegawai-pegawai Kanan MQA, wakil Komandan ALK dan Pengarah Pusat Penilaian APEL UPNM. Sementara itu,  Dekan dan Pengarah FPJB UPNM mengikuti majlis secara atas talian.