29 Mac 2022 – Sempena DSA NATSEC 2022, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah mengadakan majlis mementerai Memorandum Kesefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan rakan-rakan strategik.

Acara dimulakan dengan MoU UPNM-DEFTECH di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk berkolaborasi di dalam penyelidikan dan pembangunan pelbagai produk berkaitan automotif, aerospace, systems integration dan unmanned systems. MoU ini telah ditandatangani oleh Naib Canselor UPNM dan Pengarah Urusan DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd.

MoA UPNM-PERNAMA telah ditandatangani oleh Naib Canselor UPNM dan Pengurus Besar Perwira Niaga Malaysia. MoA ini berhasrat untuk bekerjasama dalam aktiviti perniagaan runcit, pengedaran, import-eksport, sewa beli barangan dan pengurusan perkhidmatan. Perjanjian 3 tahun ini memberi fokus melahirkan usahawan pelajar yang celik perniagaan dan persediaan menghadapai cabaran perniagaan.

MoA UPNM-MyMedikal Healthcare Sdn BHd (MHSB) berhasrat untuk memberi pendidikan perubatan dan menghasilkan produk-produk kesihatan selama 5 tahun. Perjanjian ini dimeterai bagi mengkomersialkan produk UPNM iaitu IcomBag yang digunakan di bilik  operasi. Acara tandatangan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPNM dan Pengarah Urusan MyMedikal Healthcare Sdn Bhd.

Manakala MoU UPNM-UniMAP bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan selama 4 tahun termasuk program visiting professor, student mobility, latihan pensyarah dan penyelidikan pertahanan dan keselamatan. Kedua-dua Naib Canselor UPNM dan UniMAP menandatangani MoU ini.

MoU UPNM-NIOSH berhasrat berkolaborasi selama 5 tahun dalam menyediakan latihan, penyelidikan, perkhidmatan konsultansi dan sebaran informasi dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Ia juga memberi focus kepada pembangunan pengetahuan berdasarkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan melalui penyelidikan, penulisan, seminar dan lain-lain. MoU telah ditandatangai oleh Naib Canselor UPNM dan Pengarah Eksekutif NIOSH.

UPNM-Beta Inovasi Sdn Bhd juga telah mementerai MoU selama 3 tahun yang memberi tumpuan kepada penyelesaian pertahanan, keselamatan siber, unmanned technologies and industri dunia pintar. Ia juga memfokuskan kepada platform komunikasi IP Mesh untuk projek Tactical Operations System (TOS). Naib Canselor UPNM dan Pengarah Urusan telah menandatangani MoU ini.

Acara memorandum diakhiri dengan MoU UPNM- Hindustan Aeronautics Limited, India (HAL) di mana kedua-dua pihak berhasrat untuk bekerjasama selama 3 tahun melalui pemindahan teknologi dalam program rekaan penerbangan, proses pengeluaran dan program post-graduan dalam teknologi penerbangan dan pengurusan. Acara tandatangan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPNM dan Pengurus Besar HAL.