21 April 2022 (Khamis). Majlis Angkat Sumpah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sesi 2021/2022 dan Majlis Apresiasi MPP UPNM Sesi 2020/2021 telah dilangsungkan di Dewan Bestari, UPNM.

Majlis Angkat Sumpah MPP UPNM Sesi 2021/2022 merupakan simbolik pelantikan barisan jawatankuasa baharu yang dilantik secara rasmi dalam pemilihan MPP UPNM pada 30 Mac 2022.  Majlis Angkat Sumpah diketuai oleh Saudara Mohamad Mifzal bin Sukrie selaku Yang DiPertua MPP UPNM Sesi 2021/2022 dan diikuti oleh 12 orang kepimpinan MPP UPNM.

Di samping itu, Majlis Apresiasi MPP UPNM Sesi 2020/2021 turut diadakan bagi meraikan dan menzahirkan penghargaan kepada 18 orang mantan jawatankuasa MPP UPNM yang telah menyumbang jasa dan khidmat bakti demi memperkasa dan memartabatkan kebajikan hal-ehwal mahasiswa dan mahasiswi UPNM.

Memetik ucapan Naib Canselor UPNM, Lt Jen Hasagaya Abdullah mengingatkan barisan jawatankuasa MPP mempunyai tugas, peranan dan tanggungjawab yang besar dalam membawa projeksi dan halatuju pelajar ke arah kecemerlangan dalam akademik, sukan dan sahsiah keperibadian bertepatan dengan moto UPNM iaitu “Kewajipan, Maruah, Integriti”.

Turut hadir di dalam majlis ini termasuklah para pegawai Pengurusan Tertinggi UPNM dan Komandan ALK.