8 Jun 2022 (Rabu) – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah menerima lawatan rasmi Yang Mulia Mej Jen Dato Seri Pahlawan Hj Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB). Lawatan ini dimulakan dengan pemeriksaan Kawalan Kuarter oleh Yang Mulia Pemerintah ABDB di Bangunan Canselori. Kemudiannya pegawai-pegawai PALAPES telah membuat persembahan Tarian Perang (War Dance) dengan penuh semangat dan memukau.

Di dalam ucapan aluan, YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Mulia Pemerintah ABDB dan berharap lawatan ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala UPNM dan ABDB. Kemudiannya Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi menyampaikan taklimat kepada delegasi dengan memaklumkan bahawa kedua-dua pihak boleh meneroka kerjasama menerusi program mobiliti tenaga akademia pakar (pensyarah pelawat) dan konsultansi untuk pemantapan kurikulum program akademik di antara kedua-dua pihak. Selain itu, ia juga dapat membuka potensi perluasan kolaborasi dalam meningkatkan pengetahuan terhadap isu-isu strategik mutakhir dalam bidang keselamatan dan pertahanan.

Sepanjang lawatan rasmi ini, Yang Mulia Pemerintah ABDB dan delegasi telah dibawa ke Pusat Keselamatan Siber dan Revolusi Industri Digital (PKSRID) dan lawatan berakhir dengan delegasi ABDB dibawa ke Pusat Simulator Kapal di Pusat Maritim UPNM sambil diperkenalkan hasil penyelidikan dan inovasi UPNM.

Turut hadir di dalam lawatan rasmi ini termasuklah Pengurusan Tertinggi UPNM, Komandan ALK, Pengarah Cawangan Latihan dan Pertahanan ATM dan wakil Sekretariat MK ATM.

*Lihat Video Pendek Lawatan Ini Disini: https://youtu.be/6fFddBUfoWw

.