4 Ogos 2022 | Kuala Lumpur - YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi hari ini telah menyempurnakan majlis penutup Pameran Defence, Security and Sustainability (DSS) 2022 yang bertemakan “Discovery and Innovation Towards Excellence” di Dewan Theatrette Bangunan Lestari, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini.

 

 

Penganjuran DSS 2022 merupakan satu platform kepada peserta yang terlibat dalam industri pertahanan seluruh negara berkongsi idea dan teknologi, menjalin perkongsian pintar serta memulakan kerjasama sinergi dan strategik. Objektif utama DSS 2022 adalah untuk mempamerkan hasil penyelidikan dalam bidang keselamatan dan pertahanan, perubatan, sains dan teknologi serta lain-lain bidang. Tahun ini, DSS 2022 telah menerima sebanyak 231 penyertaan yang terdiri daripada universiti awam dan swasta, dan pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Dalam ucapannya, YB Menteri menggesa agar universiti supaya sentiasa tampil menawarkan idea-idea baharu yang berimpak tinggi demi kesejahteraan sejagat bagi memberikan penyelesaian kepada isu dan cabaran yang wujud dalam masyarakat. Beliau berkata, indikator universiti terbaik adalah universiti yang mampu menghasilkan impak bukan sahaja terhadap warganya, malah turut memanfaatkan masyarakat umum. “Saya boleh katakan di sini bahawa di universiti, penyelidikan dan inovasi adalah seperti dakwat dengan kertas, kedua-duanya bergerak seiring. “Dengan penyelidikan, maka akan terhasillah idea, inovasi dan produk baharu yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai pihak,” katanya.

Hadir sama, YBhg Dato’ Dr Megat Sany Megat Ahmad Sufian, TKSU (Dasar), YBhg Prof Dato’ Dr. Husaini Omar, KPPT, YBhg Tan Sri (Dr) Syed Azman Syed Ibrahim, Pengerusi LPU UPNM,  YBhg Lt. Jen. Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor UPNM.

 

*Lihat Video Pendek Disini: https://youtu.be/pUMfG-PAhhA