10 Ogos 2022 (Rabu) – Sebagai tanda penghargaan dan meraikan Pasukan Bola Sepak Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang telah menjunjung dan mengharum nama universiti dengan menjadi Johan dalam Liga Bola Sepak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 Piala Menteri Pengajian Tinggi, Akademik Kecergasan Pertahanan (AKP) UPNM telah menganjurkan Majlis Pemberian Insentif Pasukan Bola Sepak UPNM.

Dalam pertandingan akhir, tim bola sepak UPNM telah mengalahkan pasukan bola sepak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan keputusan aggreget 3-0. Pemain UPNM Muhammad Hadi Mohamad telah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dengan jumlah jaringan 9 gol dan N. Thineswaran turut dianugerahkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Pencapaian cemerlang Pasukan Bola Sepak UPNM dititipkan dengan kata-kata semangat dan keramat dari YBhg Tan Sri Dr Syed Azman Bin Syed Ibrahim, Pengerusi LPU iaitu “Sungguh luar biasa”.

UPNM telah memberi insentif berupa wang tunai RM 5,000.00 dan Encik Alif Bin Abdullah, Pengarah Operasi Aquatwo Sdn Bhd turut menyampaikan Sumbangan Khas berupa wang tunai sebanyak RM 10,000.00 kepada Pasukan Bola Sepak UPNM. Sementara itu Pengerusi LPU juga memberi insentif kepada para pemain dan pengurusan Pasukan Bola Sepak UPNM.

Majlis turut disertakan dengan penyerahan bendera UPNM kepada kontinjen yang diwakili oleh Dr. Shahrulfadly Bin Rustam, Pengarah AKP ke kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 12 hingga 21 Ogos 2022. Kontijen UPNM terdiri daripada 182 orang atlet dan diiringi oleh 29 orang pegawai yang akan bertanding dalam 15 jenis sukan.

YBhg Pengerusi LPU turut menyampaikan Sumbangan Komputer Riba dan Dermasiswa kepada pelajar Program Asasi Pertahanan dan Program Diploma yang memerlukan. Majlis diakhiri dengan Perasmian Pelancaran Semarak Merdeka Peringkat UPNM Bagi Tahun 2022 oleh YBhg Pengerusi LPU.

Turut hadir termasuklah YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor UPNM, Pengurusan Tertinggi UPNM, Pengarah dan Dekan FPJB, Pegawai-pegawai Kanan UPNM, staf dan pelajar UPNM.