Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah dipilih sebagai salah satu daripada Ketua Projek bagi Program U4S Zon Tengah Selangor untuk modul Pendidikan dan Motivasi. Program ini adalah di bawah penyeliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bertujuan untuk memperkasa pengetahuan, kesedaran serta memberi latihan kepada komuniti.

Mengambil petikan Ucapan Amanat Menteri Pengajian Tinggi pada 17 Jan 2022, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata “Melalui strategi yang kelima iaitu Memacu Kesejahteraan Komuniti, saya mengharapkan agar kita dapat menggunakan bidang kepakaran IPT kita untuk membangunkan masyarakat setempat berdasarkan kepada pendekatan inovasi sosial. Melalui inisiatif program ‘University for Society@ Keluarga Malaysia atau UNiTY’ ini, setiap IPT boleh memilih komuniti angkat di lokaliti tertentu dan membangunkan mereka mengikut bidang kepakaran atau tujahan masing-masing.”

 

Bagi merealisasikan Program U4S, UPNM melalui Pejabat Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat (JIPK) dan Pusat Bahasa telah mengadakan Program Pembasmian Denggi dan Kelesarian Komuniti di Kajang, Selangor dengan melibatkan tiga buah sekolah iaitu  SK Saujana Impian 2 pada 21 Julai 2022, SK Saujana Impian (Sekolah Berprestasi Tinggi) pada 22 Julai 2022 dan terbaru SMK Saujana Impian pada 16 Ogos 2022. Menerusi jalinan pendidikan dan motivasi, program bersama  IPT dan komuniti setempat dapat membantu negara dalam usaha mengurangkan kes denggi ke tahap sifar (zero case).

 

Menurut Tuan Haji Ruslan bin Abdol, pengetua SK Saujana Impian 2 beliau berasa berbesar hati dengan kehadiran UPNM dalam menjalankan program ini kerana beliau merasakan bahawa pelajar perlukan pendedahan yang lebih di luar aktiviti kebiasaan. Beliau juga mengatakan bahawa aktiviti seperti ini perlu kerap dijalankan supaya membuka mata kepada pelajar-pelajar dan bukan hanya pada subjek sahaja tetapi cakna kepada keadaan sekitar. Contohnya adalah denggi yang menjadi isu sekarang yang mana secara tidak langsung para pelajar dan guru-guru dapat meyumbang ke arah  mengurangkan wabak denggi.

 

Melalui program U4S tersebut, komuniti yang terlibat telah berpeluang untuk mendapat pelbagai pengetahuan daripada pakar bidang perubatan, pendidikan dan kaunseling. Mereka juga berpeluang dibimbing untuk membentuk sebuah masyarakat yang sentiasa cakna dengan kepentingan kelesatrian pembasmian denggi.

 

Turut sama berkolaborasi dalam Program U4S bagi Zon Tengah Selangor adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), MARDI, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), COMBI dan BASF.