Pada 6 dan 7 Disember 2022, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah mengadakan Istiadat Konvokesyen Ke-12 bertempat di Dewan Merdeka, World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur. Istiadat ini telah disempurnakan oleh YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor UPNM. “Ilmu Disanjung, Keperwiraan Dijunjung” telah diangkat sebagai tema istiadat konvokesyen pada kali ini.

Seramai 1,122 orang pelajar bergraduat menyaksikan 9 orang graduan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 106 orang graduan dianugerahkan Ijazah Sarjana, 790 orang graduan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda dan 217 orang graduan dianugerahkan Diploma dalam pelbagai bidang. Istiadat Konvokesyen pada kali ini turut diserikan dengan penganugerahan Hadiah Akademik kepada 44 orang graduan Ijazah Sarjana Muda dan Diploma.

 

 

Istiadat Konvokesyen ini turut mencipta sejarah apabila dua pelajar Orang Asli iaitu Norsadaanirah a/p Anuar dari suku Temiar Semai menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Logistik Dan Pengangkutan Maritim manakala Muhamad Aidil bin Kamal dari orang asli Semenanjung menerima Sarjana Muda Pertahanan Dan Keselamatan Islam.

Di dalam ucapannya, YBhg Naib Canselor memaklumkan Tuanku Canselor telah memperkenankan untuk mewujudkan dua kategori anugerah baharu iaitu Anugerah Kedoktoran Cemerlang Tuanku Canselor yang diberikan kepada Dr Amer Fawwaz Mohamad Yasid (Sains Sosial) dan Dr Mohd Junaedy Osman (Sains dan Teknologi). Sementara itu Anugerah Sarjana Cemerlang Tuanku Canselor diberikan kepada Datuk Seri Irmohizam Ibrahim, Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL dan Lt N. Thacnatharen, Pegawai Sukarela Askar Wataniah.

 

 

Beliau menambah lagi tiga orang tokoh terkemuka juga dianugerahkan dengan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah iaitu YBhg Jen Tan Sri Dato’ Sri Azizan Ariffin TUDM (Kejuruteraan Aeronautik), YBhg Jen Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Hj Zulkifeli bin Mohd Zin (Strategik dan Hubungan Antarabangsa) dan Tuan Yang Terutama Khalid Ghanim Al-Ghaith (Hubungan Antarabangsa).

Turut hadir termasuklah Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Pengurusan Tertinggi UPNM, Komandan ALK, Pegawai-pegawai Kanan ATM dan staf UPNM.