16 Jun 2023 (Jumaat) – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah mengadakan Majlis Sanjungan Budi Seluhur Bakti di Hotel Everly, Putrajaya sempena YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor UPNM yang akan menamatkan tugas sebagai Naib Canselor UPNM Ke-6 pada 18 Jun 2023.

YBhg NC telah memulakan tugas di UPNM pada 19 Disember 2020 dan telah membawa perubahan terutamanya kepada halatuju dan aspirasi UPNM. Dalam masa yang sama juga, UPNM terus menjadi universiti rujukan dalam bidang pertahanan dan keselamatan bagi universiti-universiti tempatan dan luar negara.

 

 

Di dalam majlis ini, YBhg NC telah menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua lapisan pentadbiran yang sentiasa memberi sokongan padu dan perkongsian idea sehingga membawa UPNM dikenali di persada nasional dan antarabangsa.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg Tan Sri (Dr) Syed Azman Syed Ibrahim turut menyatakan kebanggan beliau di atas kepimpinan bijaksana YBhg NC dalam mentadbir dan mengurus UPNM.

Turut hadir termasuklah Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Pegawai Pengurusan Tertinggi UPNM, Pegawai-pegawai Kanan UPNM, staf dan Majlis Perwakilan Pelajar.