20 MEI 2025 | LANGKAWI: LIMA’25 kembali bergema dengan kehebatan aset ketenteraan dan teknologi pertahanan dari seluruh dunia. Di tengah-tengah kehangatan acara berprestij ini, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sekali lagi melakar sejarah tersendiri.
 
Sebagai satu-satunya universiti pertahanan di negara ini, keterlibatan UPNM dalam LIMA sememangnya sejajar dengan kedudukan strategiknya, memandangkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah antara pemegang taruh utama universiti ini. Tahun ini, UPNM diberikan kepercayaan lebih besar apabila dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai Universiti Penyelaras bagi penyertaan IPT di LIMA’25.
 

 
Naib Canselor UPNM, YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad turut hadir mengiringi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menyaksikan Majlis Pembukaan Rasmi dan Opening Gambit yang disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tarmac, MIEC.
 
Pameran ini memperlihatkan kolaborasi UPNM dengan industri pertahanan, memperkukuh peranan universiti sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan teknologi pertahanan. Penyertaan kali ini turut mempamerkan penyelidikan teknologi dron, dan inovasi dalam sistem pertahanan siber.