9 DISEMBER 2025 | PERAK: Dalam rangka memperluas jaringan negeri-universiti, delegasi UPNM hari ini mengadakan dua pertemuan rasmi di Perak bagi membincangkan potensi kerjasama dalam pembangunan modal insan, penyelidikan pertahanan dan inisiatif pendidikan Islam.
 
Pertemuan pertama bersama YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, diketuai oleh Naib Canselor UPNM, YBhg. Lt Jen Datuk Wira Arman Rumaizi bin Hj Ahmad, bersama Prof. Dato’ Dr. Norhasni binti Zainal Abiddin, Penolong Naib Canselor Kanan (Pembangunan Strategi) dan Lt Kol Prof. Madya Dr. Daud bin Mohamed Salleh (Bersara), Pengarah Akademi Pengajian dan Pertahanan Islam. Sesi ini meneliti ruang kerjasama yang boleh menyumbang kepada pembangunan negeri serta menyokong agenda pertumbuhan strategik UPNM di bawah UPNM30.
 
 
 
Pada hari yang sama, delegasi UPNM turut mengadakan kunjungan hormat kepada YBhg. Dato’ Haji Harith Fadzilah bin Haji Abdul Halim, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Perbincangan ini membuka peluang bagi kerjasama dalam pendidikan nilai, latihan modal insan dan program pembangunan karakter yang berasaskan kepakaran UPNM dalam kepimpinan dan pendidikan pertahanan.
 

 
Kedua-dua sesi kunjungan ini menzahirkan komitmen UPNM dalam memperkukuh peranan sebagai rakan strategik kerajaan negeri serta meneruskan agenda UPNM30 dalam membina jaringan nasional yang memberi impak langsung kepada masyarakat dan negara.