12 DISEMBER 2025 | KUALA LUMPUR: Malam tadi menjadi detik penting buat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) apabila kepimpinan universiti berhimpun dalam Majlis Makan Malam Penghargaan dan Peluncuran Pelan Strategik UPNM30, sekali gus menutup tirai 2025 dengan satu komitmen bersama terhadap hala tuju masa depan universiti.
 
Majlis ini bukan sekadar meraikan pencapaian sepanjang tahun, tetapi menzahirkan kesepaduan Lembaga Pengarah Universiti (LPU), pengurusan tertinggi dan seluruh ekosistem UPNM dalam menyepakati arah strategik yang lebih jelas, berdisiplin dan berfokus.
 
 
Dalam ucapannya, Pengerusi LPU, Tan Sri Dato’ Seri Syed Azman bin Syed Ibrahim menegaskan bahawa “UPNM memikul amanah sebagai pembentuk pemimpin, penjana inovasi dan wadah inspirasi,” manakala Pelan Strategik UPNM30 akan berperanan sebagai “kompas dan panduan untuk bergerak lebih jauh, lebih cepat dan lebih berstrategi.”
 
Peluncuran Pelan Strategik UPNM30 menandakan iltizam universiti untuk memperkukuh peranan sebagai institusi pendidikan tinggi pertahanan negara, berpaksikan empat teras strategik KP2T iaitu Kesarjanaan, Pusat Kecemerlangan, Penjanaan dan Tadbir Urus.
 
 
 
Pada malam yang sama, Kapsul Masa UPNM30 turut dilancarkan oleh Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Wira Arman Rumaizi bin Hj Ahmad, disaksikan oleh Pengerusi LPU. Kapsul ini akan dibuka pada tahun 2030 sebagai simbol amanah, aspirasi dan rekod perjalanan transformasi UPNM.
 
Inilah penutup 2025 yang bermakna.
 
Inilah komitmen bersama untuk masa hadapan.
 
Inilah UPNM30.