MENGETUAI 50 STAF UPNM DALAM INTERNATIONAL CONFERENCE ON TROPICAL SCIENCES: CONTRIBUTION

TO SUSTAINABILITY (TROPSC) 2021

UPNM telah dijemput untuk menjadi Strategic Partner bagi International Conference on Tropical Sciences: Contribution to Sustainability (TropSc2021) anjuran Mahathir Science Award Foundation (MSAF) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) pada 25-27 Oktober 2021. Persidangan yang dianjurkan secara online ini yang bertaraf antarabangsa memberi fokus kepada sumbangan sains dan teknologi dalam menangani cabaran dan nilai-nilai dari kawasan tropikal untuk mencapai kelestarian. Bidang-bidang yang diliputi adalah perubatan tropikal, pertanian tropikal, sumber semula jadi tropikal, kejuruteraan dan rekabentuk tropikal, perubahan cuaca, kepimpinan belia dan sains keterbukaan (open science). Pembuat polisi, pemilik dan/atau pengurus industri serta penyelidik yang terkemuka dijemput untuk berkongsi pengalaman mereka bersama peserta. Seramai 50 orang peserta di kalangan penyelidik UPNM telah menyertai persidangan ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

RAIH MEDAL EMAS DI PAMERAN ANTARABANGSA INTERNATIONAL INVENTION & TRADE EXPO

CENTROP bersama Pusat Penyelidikan Pertahanan Kimia (CHEMDEF) telah menyertai pameran penyelidikan antarabangsa iaitu International Invention & Trade Expo (ITE). Pameran secara maya ini telah diketuai oleh Dr. Rauda Binti A. Mohamed, Felo Pasca Doktoral di CENTROP. Produk penyelidikan bertajuk Methyl-2-Pyridyl Ketoxime: A Potential Organophosphate-Inhibited Acetylcholinesterase (OP-AChE) Reactivator Suitable to be Used as a Broad-Spectrum Antidote for Organophosphate Poisoning Treatments. Pameran ini berlangsung pada 24-26 September 2021 dan produk yang dipamerkan ini telah meraih  Anugerah Emas.

  

     

 

 

 

  

LAWATAN KERJA KE MARKAS WILAYAH LAUT 1, PANGKALAN TLDM TANJUNG GELANG (MAWILLA 1),

KUANTAN, PAHANG

 Pusat Pentropikalan telah mengadakan lawatan kerja ke Markas Wilayah Laut 1 Pangkalan TLDM pada 31 Julai 2019. Tujuan lawatan ini adalah sebagai salah satu usaha Pusat Pentropikalan (CENTROP) bagi memulakan perbincangan dan mengenal pasti potensi kerjasama penyelidikan yang berkaitan dengan isu-isu pentropikalan di antara UPNM dan MAWILLA 1 khasnya dalam bidang teknologi maritim. Semasa kunjungan kerja ini, seramai sembilan orang penyelidik UPNM telah dibawa melawat bengkel-bengkel, aset-aset maritim iaitu KD Perdana dan KD Pahang. Beberapa isu-isu pentropikalan yang menjadi ancaman kepada operasi peralatan, persenjataan dan infrastruktur yang terdapat di markas tersebut turut dikenalpasti. Di samping itu, lawatan ini memberi peluang kepada pegawai penyelidik CENTROP mendapatkan sampel kajian yang berkaitan dengan pentropikalan untuk dikaji dengan terperinci untuk tujuan penyelidikan. Sambutan yang diberi oleh pihak MAWILLA 1 adalah sangat menggalakkan kerana semua aktiviti diatur sangat berkait dengan objektif lawatan. Diharapkan lawatan ini dan perbincangan yang telah diadakan memberi laluan untuk UPNM dan MAWILLA 1 untuk meneruskan kerjasama menjalankan aktiviti penyelidikan untuk faedah bersama.

 

 

 

 

 

LAWATAN KERJA KE BAHAGIAN TEKNOLOGI MARITIM, INSTITUT PENYELIDIKAN SAINS DAN TEKNOLOGI

PERTAHANAN (STRIDE), LUMUT PERAK  

 Pada 14 Mac 2019, Pusat Pentropikalan telah mengadakan lawatan kerja ke Bahagian Teknologi Maritim, Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Lumut, Perak. Lawatan ini adalah sebagai salah satu usaha Pusat Pentropikalan untuk mendapatkan maklumat dan mengenalpasti kerjasama yang dapat dilaksanakan di bidang teknologi maritim. Di samping itu, lawatan ini memberi peluang kepada pegawai CENTROP meninjau lokasi yang mungkin dijadikan sumber kajian yang berkaitan dengan pentropikalan. Lawatan kerja ini turut disertai oleh lapan orang penyarah dan dua orang pegawai. Perbincangan dan lawatan tapak ini telah mengenal pasti potensi kerjasama penyelidikan teknologi maritim dan pentropikalan yang boleh dijalankan bersama.  

 

 

 

 

LAWATAN KE SKUADRON KE -4 REJIMEN ASKAR JURUTERA DIRAJA, KEM SYED SIRAJUDIN, GEMAS,

NEGERI SEMBILAN

 Pusat Pentropikalan telah mengadakan lawatan kerja ke Skuadron Ke -4 Rejimen Askar Jurutera Diraja, Kem Syed Sirajudin, Gemas, Negeri Sembilan pada 21 Februari 2019 yang lalu. Lawatan ini diadakan bertujuan untuk memulakan hubungan kerjasama bersama pihak Rejimen Askar Jurutera Diraja bagi melaksanakan penyelidikan berkaitan masalah yang timbul daripada pertumbuhan kulat dan penghakisan peralatan yang dikendalikan oleh pihak mereka. Hasil daripada lawatan ini, beberapa sampel kulat berjaya diperolehi dan dibawa pulang ke UPNM untuk dianalisa. Hasil dapatan ini seterusnya dapat dimanfaatkan untuk penyelidikan bagi menghasilkan bahan yang dapat mencegah pertumbuhan kulat pada peralatan ketenteraan.