
- Details
- Bil. Capaian: 358
Pada 16 Mac 2023 bertempat di Bilik Mesyuarat Menara Weststar, Kuala Lumpur telah berlangsung Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Ke-51 Bilangan 1 Tahun 2023.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YBhg Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Syed Azman bin Syed Ibrahim, Pengerusi LPU UPNM. Dalam ucapan pembukaan, YBhg Pengerusi merakamkan penghargaan di atas kepimpinan YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM dalam memimpin aspirasi dan halatuju UPNM ke arah kecemerlangan di persada nasional dan peringkat antarabangsa melalui Majlis Amanat Naib Canselor 2023.
Dalam Mesyuarat LPU, YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor UPNM telah membentangkan pencapaian prestasi UPNM, program-program universiti yang telah dilaksanakan dan aktiviti-aktiviti akan datang serta penglibatan staf dan pelajar sehingga bulan Febuari 2023.
Beberapa kertas kerja juga telah dibentangkan dan keputusan-keputusan yang telah diambil oleh barisan ahli LPU akan menerajui UPNM untuk bergerak di atas landasan yang tepat dan berdaya mampan dalam memperkasa pendidikan, penyelidikan, pengurusan dan pentadbiran universiti.
Turut hadir dalam Mesyuarat LPU adalah YBhg Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang TUDM, Panglima Angkatan Tentera, YBhg Jen Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM (Bersara), YBhg Dato’ Haji Md Pisal bin Ab Raub, Puan Azlinda binti Azman, En Md Taufiq bin Md Ralip, Kdr (K) Datuk Zulkifli bin Ishak PSSTLDM, Lt Kol Prof Dr. Victor Feizal bin Knight Victor Ernest@Abd Shatar (Bersara), Encik Mohamad Amir Shaqim bin Ahmad Shahriman dan Pengurusan Tertinggi UPNM.

- Details
- Bil. Capaian: 615
12 Mac 2023 – Memahami dan menjiwai keperitan serta rasa mawaddah kepada mangsa-mangsa banjir yang memerlukan bantuan dan sokongan, seramai 90 orang sukarelawan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terdiri daripada 20 orang staf, 35 orang pelajar dan 35 orang PALAPES UPNM telah bersama dalam Misi Bantuan Pasca Banjir Johor 2023. Program pembersihan rumah-rumah terkesan banjir telah dilaksanakan di Daerah Segamat dan Daerah Kota Tinggi, Johor.
YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor UPNM turut turun padang dan menyantuni penduduk terjejas banjir di Felda Medoi, Segamat. Beliau berkesempatan mengunjungi warga felda dan menyerahkan 100 Bakul Rahmah KPT-UPNM kepada Ketua Kampung untuk diagih-agihkan kepada mangsa terjejas.
Sementara itu di Pusat Khidmat Parlimen Kota Tinggi, Johor, YBhg Naib Canselor telah menyempurnakan Majlis Penyerahan 100 Bakul Rahmah KPT-UPNM kepada En. Mohamad Aidil, Pegawai Pejabat Khidmat Parlimen Kota Tinggi sambil disaksikan oleh En. Mohd Affendi Dullah, Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Pendidikan Tinggi.
Program pasca banjir ini turut dihadiri oleh Prof. Dato’ Ts Dr. Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Muhd Zuazahan Yahya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Pegawai-pegawai Kanan UPNM.
Semoga sikap kesukarelawan yang dilahirkan menerusi Leader of Characters akan menjadi peneraju kepada mahasiswa UPNM lain untuk terus mencurahkan bakti kepada masyarakat yang ditimpa musibah.

- Details
- Bil. Capaian: 1414
Pada 28 Feb 2023, Majlis Amanat Naib Canselor UPNM telah dilaksanakan dengan jayanya di Dewan Theatrette, Bangunan Lestari UPNM. Majlis amanat dimulakan dengan tayangan montaj memaparkanpencapaian gemilang UPNM sepanjang tahun 2022 dan kejayaan aktiviti-aktiviti serta pelaksanaan program-program yang signifikan.
Dalam amanatnya, YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM telah mengangkat “Amanah Dijunjung Ilmu Disanjung” sebagai tema pada tahun ini. Tema ini merumuskan UPNM menggenggam amanah yang dipertanggungjawabkan, beriltizam dan berusaha dengan penuh kegigihan dan kebijaksanaan dalam meraih kejayaan dan kecemerlangan.
Naib Canselor juga menggariskan 7 Teras Strategik UPNM Tahun 2023bagi melengkapi dan memperhalusi kerangkuman amanat YB Menteri Pendidikan Tinggi. Teras Strategik ini meliputi:
Teras 1 - Memperkasa Akademik, Pengantarabangsaan dan Pengajian Sepanjang Hayat
Teras 2 - Memperkukuh Graduan Holistik dan Jaringan Alumni
Teras 3 - Meningkatkan Aktiviti Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersilan
Teras 4 - Memantapkan Tadbir Urus dan Pengurusan Sumber Manusia
Teras 5 - Memperkukuh Kemampanan Kewangan dan Penjanaan Pendapatan
Teras 6 - Memperkasakan Jaringan Industri, Komuniti dan Hubungan Korporat
Teras 7 - Pembangunan, Pendigitalan, Pengingkatan Kualiti dan Pengurusan Risiko
Beliau juga memberi sokongan yang padu dalam menjaga keselesaan, keselamatan dan kebajikan staf, mahasiswa dan alumi UPNM. Naib Canselor mengakhiri amanatnya dengan mengharapkan semua lapisan kepimpinan menyimpulkan tekad dan iltizam dengan penuh rasa amanah dalam melaksanakan tugas demi melonjakkan kecemerlangan UPNM di persada dunia.
Turut hadir di Majlis Amanat Naib Canselor UPNM adalah Pengurusan Tertinggi UPNM, Komandan ALK, Pegawai-pegawai Kanan UPNM, staf dan pelajar UPNM.

- Details
- Bil. Capaian: 940
8 Mac 2023 – Menggamit kesusahan dan rasa ihsaniah kepada mangsa-mangsa banjir yang memerlukan bantuan dan sokongan, seramai 43 orang sukarelawan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terdiri daripada 5 orang staf dan 35 orang pelajar telah bersama dalam Misi Bantuan Pasca Banjir Johor 2023. Misi ini diketuai oleh En Rizal bin Abu Bakar, Penolong Pendaftar, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA).
Program pembersihan rumah-rumah dan bangunan terkesan banjir telah dilaksanakan di Kg. Simpang Lima Darat dan Parit Bunga, Ledang, Johor. Sebanyak 6 buah rumah, sebuah perpustakaan dan pondok bas sekolah telah berjaya dibersihkan, dicuci dan dikemas sepanjang misi berlangsung.
Program pasca banjir ini turut dibantu oleh MAKSUM, Pejabat ADUN Gambir, Ketua Kampung Simpang Lima Darat dan penduduk setempat. Semoga amal bakti yang diterajui oleh sukarelawan UPNM menjadi pemangkin kepada warga Malaysia untuk turut serta mencurahkan tenaga dan memberi bantuan keperluan demi kebaikan dan keharmonian bersama.
#UPNMSharing
#UPNMPrihatin
#SayangiUPNMKita

- Details
- Bil. Capaian: 2204
Pada 17 Februari 2023 (Jumaat) bertempat di Pusat Marin UPNM telah diadakan Majlis Watikah Pelantikan MPP UPNM Sesi 2022/2023 dan Majlis Apresiasi MPP UPNM Sesi 2021/2022.
Saudara Rahman Putra bin Yunaidi, pelajar dari Pusat Bahasa telah dipilih sebagai YDP MPP UPNM Sesi 2022/2023. Dalam majlis ini, YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM telah menyampaikan Watikah Pelantikan kepada 17 orang ahli MPP UPNM yang baharu.
Majlis Apresiasi juga diadakan bagi meraikan sumbangan dan jasa bakti kesemua mantan barisan kepimpinan MPP UPNM Sesi 2021/2022. YBhg Naib Canselor turut menyempurnakan penyampaian Sijil Penghargaan dan Cenderamata.
Dalam ucapan, YBhg Naib Canselor menekankan peranan MPP dalam menyuarakan dan menyampaikan pendapat mahasiswa serta bertindak sebagai duta kecil UPNM. Beliau mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada mantan barisan MPP yang telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan memuaskan.
Turut hadir termasuklah Pengurusan Tertinggi UPNM dan Pegawai-pegawai Kanan UPNM.