DASAR PENGINAPAN PELAJAR DI KOLEJ KEDIAMAN UNIVERSITI PERTAHANAN NASIONAL MALAYSIA

1. Keutamaan penginapan kolej kediaman dalam kampus induk diberi kepada pelajar kategori di bawah dan pelajar perlu memajukan permohonan serta tertakluk kepada kekosongan penginapan :

i. Program Asasi Pertahanan (wajib menginap)

ii. Tahun Satu (1) program sarjana muda dan diploma (wajib menginap)

iii. PALAPES (wajib menginap)

iv. Anggota Wataniah

v. Majlis Perwakilan Pelajar

vi. Majlis Tertinggi Kolej Kediaman

vii. Ahli Jawatankuasa tertinggi badan pelajar (Persatuan dan Kelab)

2. Pelajar tahun dua dan ke atas dikehendaki menginap di luar kampus atas tanggungan sendiri.

3. Pelajar yang menginap di luar kampus tanggungan sendiri (sewaan/ rumah keluarga/ tanggungan) wajib mendaftar di Bahagian Pengurusan Pelajar Luar Kampus di Pusat Pengurusan Kediaman Pelajar UPNM.

4. Pelajar yang berkeperluan boleh mengemukakan permohonan untuk dipertimbangkan penginapan di dalam kampus.

5. Kolej kediaman bersifat “ kemudahan tetapi bukan hak “ merupakan tempat eksklusif kepada pelajar untuk menjalankan kehidupan berkolegiat. Selain tempat menginap, ia juga merupakan asas terpenting dalam pembentukan sahsiah, berilmu, berakhlak, berkemahiran, berdaya saing serta mempunyai jati diri melalui proses pengajaran, pembelajaran dan pembentukan peribadi bagi meningkatkan budaya ilmu di Universiti.

6. Dasar kolej kediaman universiti adalah untuk memberi tempat penginapan, makanan dan persekitaran pembelajaran yang selesa, ceria dan selamat.

7. Semua pihak sama ada dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan , Akademi Latihan Ketenteraan dan juga pelajar perlu menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing bagi memastikan keselesaan dan keharmonian kolej kediaman dapat dicapai.

8. Penempatan di kolej kediaman merupakan satu kemudahan untuk pelajar, tetapi bukannya hak seseorang pelajar.

9. Selain itu, kolej kediaman juga adalah wadah untuk membentuk dan membangunkan sahsiah pelajar bagi mewujudkan graduat yang bersifat holistik.

10. Pelbagai program dan aktiviti pelajar dirangka dan dilaksanakan di peringkat kolej kediaman dan dikawal selia oleh Pengetua, Felo dan Pusat Pengurusan Kediaman Pelajar dengan penglibatan Akademi Latihan Ketenteraan. Bagi membantu pentadbiran kolej kediaman dan menjaga kebajikan serta pembangunan pelajar, beberapa Pegawai Pembangunan Pelajar dilantik oleh pengurusan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) serta Akademi Latihan Ketenteraan. Pelajar boleh menghubungi pegawai yang bertugas semasa atau selepas waktu pejabat untuk bantuan dan nasihat berkaitan dengan aktiviti atau masalah yang mereka hadapi.

11. Pelajar diwajibkan mendaftar masuk ke kolej kediaman dan mendaftar keluar mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan oleh Pusat Pengurusan Kediaman Pelajar.

12. Pusat Pengurusan Kediaman Pelajar dan Akademi Latihan Ketenteraan berhak mengarahkan pelajar berpindah bilik atau mengosongkan tempat tinggal yang disediakan di kolej kediaman pada bila-bila masa tanpa memberikan apa-apa alasan.

13. Pusat Pengurusan Kediaman Pelajar boleh dari semasa ke semasa memberi apa-apa perintah atau arahan secara bertulis atau lisan yang difikirkan perlu untuk memelihara ketenteraman dan tatatertib asrama.

14. Sebarang kerosakan hendaklah dilaporkan segera. Pelajar hendaklah membayar gantirugi atas kerosakan yang dilakukan mengikut kadar gantirugi yang telah ditetapkan. Pelajar yang melanggar peraturan Kolej Kediaman juga akan didenda mengikut kadar denda yang telah ditetapkan.

15. Pelajar yang layak bergraduat tidak diberikan penempatan di kolej kediaman untuk mereka menjalani aktiviti Konvokesyen di Universiti. Penempatan pelajar di kolej kediaman hanya diberikan mengikut kepada tempoh yang ditentukan oleh kalendar akademik Universiti. Aktiviti penginapan bagi tempoh di luar daripada kalendar akademik perlu mendapat kebenaran daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.

16. Pelawat tidak dibenarkan masuk ke kolej kediaman pelajar tanpa kebenaran bertulis daripada Pusat Pengurusan Kediaman Pelajar.

17. Pelajar berstatus Pegawai Kadet yang telah dibatalkan pelantikan sebagai Pegawai Kadet dan meneruskan pengajian sebagai Pelajar Awam hendaklah membuat permohonan baharu untuk menginap di kolej kediaman kepada pihak Universiti dan Pusat Pengurusan Kediaman Pelajar. Hanya pelajar yang berdaftar sahaja dibenarkan untuk menginap di kolej kediaman dan menumpang di bilik pelajar lain tanpa kebenaran adalah satu kesalahan dalam peraturan Universiti.

18. Pelajar yang mengikuti Latihan Industri di luar Universiti tidak dibenarkan menginap di kolej kediaman tanpa kebenaran bertulis daripada Pusat Pengurusan Kediaman Pelajar.