18 OGOS 2025 | UPNM: Pagi tadi, Naib Canselor UPNM, YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad, menerima kunjungan hormat daripada YBhg. Dato’ Seri Mohd Nizam bin Kasa, Pengarah Urusan Mildef International Technologies Sdn Bhd (MILDEF). Pertemuan ini membuka lembaran baharu antara UPNM dan pengeluar kenderaan berperisai tempatan yang semakin diiktiraf, MILDEF.
 
MILDEF, sejak ditubuhkan pada 2005 telah muncul sebagai peneraju industri pertahanan tempatan dengan membangunkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi Tarantula HMAV 4x4, antara yang pertama buatan Malaysia dan menjadi rakan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
 
 
 
Kunjungan ini adalah simbol bagaimana kesarjanaan UPNM kini setanding dengan keupayaan industri pertahanan tempatan. UPNM membina strategi dan penyelidikan teknologi, sementara MILDEF menambah kekuatan inovasi, membina sinergi untuk pertahanan negara. Inilah langkah awal ke arah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak yang bakal menyatukan kepakaran akademia dan inovasi industri demi memperkukuh ekosistem pertahanan negara.
 
Sebagai universiti pertahanan tunggal negara, UPNM memperkukuh identitinya dalam ketenteraan, keselamatan dan teknologi pertahanan seiring dengan rakan strategik seperti MILDEF yang menerajui penghasilan teknologi mobiliti berperisai. Inilah cerminan UPNM30. Akademia dan industri berganding tangan, membina kekuatan sebenar negara, berdiri teguh di pentas global dengan strategi, ilmu dan keupayaan sendiri.
 
Nantikan pemeteraian MoU yang bakal menyatukan kekuatan akademia dan industri untuk masa depan pertahanan negara.