1 FEBRUARI 2026 | KUALA LUMPUR: Sorakan yang memenuhi gelanggang sepanjang tiga hari akhirnya reda apabila Sukan Asasi Malaysia Ke-9 2026 (SAM 2026) melabuhkan tirai secara rasmi hari ini.
 
Dianjurkan oleh UPNM selaku tuan rumah, SAM 2026 menghimpunkan kira-kira 1,400 atlet asasi dari seluruh negara dalam satu pentas persaingan yang menekankan disiplin, semangat kesukanan dan pembinaan karakter.
 
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datuk Dr. Azlinda binti Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan turut dihadiri Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Wira Arman Rumaizi bin Hj Ahmad serta wakil universiti dan kontinjen yang bertanding.
 
 
Bertemakan “Semarak Asasi, Gempur Prestasi”, SAM 2026 mempertandingkan 11 acara sukan merangkumi sukan fizikal, minda, teknikal dan e-sukan, sekali gus mencerminkan pendekatan pembangunan mahasiswa yang holistik. Pusat Asasi UiTM dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan SAM 2026.
 
Sebagai simbolik penutup, bendera kejohanan diserahkan kepada Universiti Malaya (UM) selaku tuan rumah SAM 2027. SAM 2026 berakhir, namun semangat asasi yang dibina akan terus melangkah ke hadapan.